Video tular: 'Datuk' pukul pelanggan restoran dituduh esok
Umavathi Ramayah
Januari 20, 2021 16:30 MYT
Januari 20, 2021 16:30 MYT
PETALING JAYA: Lelaki bergelar 'Datuk' dan rakannya yang dipercayai memukul seorang pemuda di sebuah restoran di Persiaran Tropicana akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek itu akan dituduh bagi lima pertuduhan berasingan.
Katanya, tiga daripada pertuduhan itu adalah membabitkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Jika disabitkan kesalahan, katanya, mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Sementara dua lagi pertuduhan membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda dan Seksyen 290 kanun sama kerana menyebabkan gangguan awam," katanya di sini, pada Rabu.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 427, suspek boleh dihukum penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan jika disabit bersalah.
Sementara Seksyen 290 pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, tangkapan terhadap lelaki bergelar Datuk berusia 42 tahun dan rakannya, 39 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 3.40 petang, 16 Januari lalu.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, suspek memasuki restoran stimbot dalam keadaan mabuk, lalu dikatakan telah meninggikan suaranya sebelum ditegur mangsa yang duduk di meja bersebelahan.
Video berdurasi 50 saat itu yang tular dalam media sosial menunjukkan suspek menampar mangsa sebelum beredar dari restoran itu.
Dalam pada itu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan mangsa adalah anak kepada Datuk Kwan Foh Kwai yang juga Timbalan Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak.
BACA: Video tular: Ugut dan tampar pelanggan restoran, 'Datuk' ditahan
#video tular
#Datuk pukul anak Datuk
#dituduh
#Mahkamah Majistret Petaling Jaya
#Polis Diraja Malaysia
#IPD Petaling Jaya
#Ketua Polis Negara