Video tular cuba tarik kereta, polis minta wanita hadir beri keterangan

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 17, 2024 07:45 MYT
Tangkap layar video seorang wanita menceritakan pengalaman sepupunya yang didakwa berdepan taktik seorang lelaki cuba tarik kereta dikatakan berlaku di R&R Tapah. Foto ihsan pembaca. Gambar kecil: Mohd Naim. - Foto Sinar Harian
TAPAH: Polis meminta seorang wanita hadir ke balai bagi memberi keterangan mengenai video tular kononnya cubaan tarik kenderaan didakwa berlaku di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di sini.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung video tular itu tetapi semakan setakat ini mendapati tiada laporan polis diterima.
"Tiada aduan diterima daripada mana-mana pihak berhubung kes itu. Kalau wanita tersebut boleh hadir untuk diambil keterangan, ia membantu kita membuat siasatan.
"Pada masa sama, tindakan pencegahan juga sentiasa dilaksanakan dengan mengadakan program 'Talk to Us' selain rondaan cegah jenayah oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB)," katanya di sini, semalam.
Terdahulu, tular rakaman video seorang wanita menceritakan pengalaman sepupunya terhadap taktik seorang lelaki yang dikatakan cuba menarik kereta tanpa dokumen sah ketika berhenti berhampiran sebuah stesen minyak di hentian hala utara itu.
Semakan pihaknya juga mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan lelaki terbabit adalah palsu.
Menerusi video itu, wanita berkenaan menasihatkan warganet supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
#video tular #tarik kereta #Tapah #Mohd Naim Asnawi