Video tular berjoget di konsert, polis akan ambil tindakan

Astro Awani
Mac 6, 2022 00:24 MYT
Rakaman berdurasi lebih 20 minit itu memaparkan sekumpulan individu sedang rancak menari - Foto/video pengguna media sosial
JOHOR BAHRU: Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan sekumpulan individu yang terlibat dalam ‘aksi joget’ selepas dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian di sebuah konsert di Ayer Hitam, Batu Pahat baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bagaimanapun pihaknya ketika ini sedang mengenal pasti individu-individu yang terlibat.
Katanya, siasatan terperinci berhubung insiden itu akan dijalankan dan tindakan diambil berdasarkan lunas undang-undang.
“Perkara seumpama itu tidak harus berlaku. Tidak boleh berpesta, ini akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan menjalankan siasatan serta ambil tindakan.
“Kalau dilihat ia sudah pasti menjadi kesalahan kerana memang tidak patuh SOP. Kita akan siasat dan akan ambil tindakan kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah rakaman video tular yang memaparkan aksi sekumpulan individu yang sedang rancak menari, dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal.
Rakaman berdurasi lebih 20 minit itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet yang mempertikaikan penganjuran konsert sedemikian ketika mana negara masih dalam pandemik COVID-19.
#Video tular joget #Konsert Ayer Hitam #Covid-19 Malaysia #joget #konsert #langgar SOP #AYER HITAM #Batu Pahat #polis johor
;