Video TMM2026: Fokus untuk promosikan Malaysia, bukan sebaliknya

Pia Ernadya
Januari 8, 2025 19:50 MYT
Tiong King Sing berkata, beliau menentang tindakan segelintir pihak yang memutarbelitkan usaha kerajaan dan mencabar keharmonian sosial negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kesal dengan sikap sesetengah pihak yang mengaitkan video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) sebagai isu agama dan perkauman.
Ujar King Sing, tujuan utama video tersebut adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan dan bukan sebaliknya.
“Berhubung isu tular mengenai video montaj pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dikatakan tidak memaparkan masjid sebagai sebahagian daripada visual promosi tersebut, saya ingin menegaskan bahawa tujuan utama video tersebut adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan.
“Ia meliputi perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara ke hadapan, bukannya mengenai agama atau perkauman,” jelasnya menerusi sebuah kenyataan ringkas pada Rabu.
Tambah King Sing, video ini hanya sebuah video pelancaran ringkas berdurasi 41 saat dan fokus utama adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif.
Beliau berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti ini sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci.
“Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini, termasuk seni bina masjid yang memukau. Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya, dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video tersebut seperti Silat, Tarian Ngajat dan Tarian Sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” jelasnya.
Tambahnya, beliau menentang tindakan segelintir pihak yang memutarbelitkan usaha kerajaan dan sikap seperti itulah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial negara.
“Saya amat kesal dengan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini sebagai sentimen agama dan perkauman, serta menjadikan isu ini sebagai bahan perpecahan. Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh Kementerian.
“Sepatutnya, kita semua mengutamakan perpaduan, saling menghormati, dan kesejahteraan bersama,” jelasnya lagi.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat memahami fokus utama adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, dan mengukuhkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, seni dan budaya.
“Saya menyeru kepada semua pihak, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman.
“Ingatlah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan. Janganlah biarkan isu-isu sebegini menjadi penghalang keharmonian masyarakat, seterusnya menjejaskan imej negara kita di persada dunia,” tambahnya.
#tahun melawat malaysia #video promosi #pelancongan #sentimen #Tiong King Sing
;