Video seks: Dua kali Pejabat Peguam Negara kembalikan kertas siasatan - KPN

Hakim Rahman, Afiezy Azaman
Julai 13, 2019 00:45 MYT
Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pihak Pejabat Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan itu kerana berpendapat ada elemen siasatan yang perlu dikemas kini. - Gambar fail
Polis sudah menghantar kertas siasatan berhubung penyebaran video hubungan sejenis yang dikaitkan dengan seorang ahli politik kepada Pejabat Peguam Negara sebanyak dua kali namun dikembalikan semula.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pihak Pejabat Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan itu kerana berpendapat ada elemen siasatan yang perlu dikemas kini.
“Setelah berbincang dengan pihak Pejabat Peguam Negara telah berikan arahan tertentu untuk mendapatkan keterangan beberapa individu berulang kali.
“Kali terakhir kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada Khamis lalu tetapi dikembalikan semula,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka, Perumahan Blok Melati PDRM, di Setiawangsa, malam tadi.
BACA: Polis kenal pasti dalang video lucah babitkan Haziq
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata arahan tertentu pihak Pejabat Peguam Negara menyebabkan siasatan video lucah itu memakan masa.
"Ini menyebabkan pegawai penyiasat terpaksa pergi balik ke Sandakan dan perkara itu memakan masa sehingga ada pihak yang tidak memahami perkara ini membuat andaian Polis sengaja melambat-lambatkan siasatan.
"Sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, kita akan terus melakukan tindakan menahannya semua yang terbabit.
"Malah mereka yang terbabit dalam menyebarkan video lucah hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan," katanya lagi.
Pada masa ini polis sudah mengambil keterangan dari saksi berkaitan serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.
#Abdul Hamid Bador #Azmin Ali #Haziq Aziz #Pejabat Peguam Negara #video hubungan sejenis #video intim #video lucah
;