Video seks: Bahaya fitnah kini menjalar pula kepada ulama, agamawan

Astro Awani
Oktober 26, 2014 14:39 MYT
Suburnya perangai jahat ini, kini para ulamak dan agamawan pula cuba dibogelkan di hadapan khalayak ramai. -Gambar fail
Seluruh pecinta ilmu dan ulamak merasa teramat berdukacita dengan insiden penyebaran video fitnah yang dikaitkan dengan daie kesayangan ummah dan dambaan jutaan pemuda, al-fadhil Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Rasa dukacita yang dimanifestasikan dengan pelbagai ekspresi oleh bermacam-macam pihak itu tanda bahawa Allah tidak mengizinkan makhluk yang dimuliakanNya itu dihina tanpa kehendakNya. Bahkan, suatu kehinaan pula ke atas pelaku fitnah itu.
Imej dan reputasi UAI yang sengaja dicalarkan dengan apa juga sebab musabab ini sangat merungsingkan kita semua.
Sebelum ini, hanya para artis sahaja dikaitkan dengan skandal seumpama itu. Disusuli pula ahli politik menjadi sasaran, bertujuan menjatuhkan seteru politik sendiri.
Suburnya perangai jahat ini, kini para ulamak dan agamawan pula cuba dibogelkan di hadapan khalayak ramai. Musibah sungguh umat kita dihinggap penyakit rosak ini yang merosakkan ramai orang dan ketamadunan ketimuran manusia kita di negara ini.
Jika dibiarkan, kelak tidak perlu lagi sesiapa pun membogelkan orang lain, mereka sendiri akan rela hati membogelkan diri mereka. Justeru, insiden ke atas UAI ini harus dipandang dan diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.
Siasatan perlu dilakukan dan tindakan perlu dikenakan. Kemaafan UAI suatu kepujian. Cegah mungkar suatu kewajipan.
Saya juga mendoakan agar daie sejuta ummah Ustaz Azhar Idrus sekeluarga akan tabah dalam menghadapi ujian ini dan terus istiqamah dalam menyebarkan ilmu dan membimbing ummah serta kerja kerja dakwah yang dilakukan selama ini.
Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua, Pemuda PAS Malaysia
#Azhar Idrus #UAI #video seks
;