Video persoal status Sabah tidak berasas, cubaan mengelirukan - Wisma Putra

Firdaus Azil
Julai 29, 2024 18:59 MYT
Wisma Putra sedang menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi yang berkaitan tentang penularan video itu. -Gambar fail/Wikipedia
PUTRAJAYA: Malaysia sama sekali tidak akan mengiktiraf tuntutan pihak asing bahawa Sabah bukan sebahagian daripada negara ini, dan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah itu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya menyedari penularan sebuah video, yang mengandungi kandungan tidak berasas dan mempersoalkan tentang status Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, Wisma Putra sedang menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi yang berkaitan.
“Ketika ini pihak Kementerian ingin menegaskan pendirian sekian lama Kerajaan Malaysia bahawa Sabah, sentiasa sebahagian daripada negara ini, dan Malaysia sama sekali tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan daripada pihak luar.
“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada negara ini, sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
“Rakyat Sabah juga telah melaksanakan hak penentuan nasib sendiri (self-determination rights) mereka melalui Suruhanjaya Cobbold 1962,” menurut kenyataan itu lagi.
Wisma Putra berkata, Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha untuk mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, dan akan memastikan kedaulatan Malaysia, integriti wilayah dan kepentingan nasional akan terus dilindungi.
#kedaulatan sabah #tuntutan Sulu #Wisma Putra #Suruhanjaya Cobbold 1962
;