Video muzik raya: Aliff Syukri mohon maaf kepada yang tersinggung

Bernama
April 26, 2022 16:28 MYT
ALiff Syukri tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada pukul 9.58 pagi dan keluar pada pukul 2.41 tengah hari. - Gambar SINAR HARIAN
CYBERJAYA: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di sini berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi.
Beliau dengan memakai kot kelabu serta berseluar hitam tiba di MCMC pada pukul 9.58 pagi dan keluar pada pukul 2.41 tengah hari.
Ditemui pemberita usai memberi keterangan, Aliff Syukri memohon kemaafan daripada masyarakat yang tersinggung dengan video berkenaan dan meminta supaya tidak melibatkan keluarganya dalam perkara itu.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada MCMC kerana memberi layanan yang baik. Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya," katanya.
Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata MCMC telah memberi notis kepada individu yang dikenal pasti dalam video berkenaan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu.
Menurut Annuar, penelitian peringkat awalan MCMC mendapati ada sebab untuk siasatan dilaksanakan dan susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- BERNAMA
#Aliff Syukri #klip video muzik #MCMC #usahawan kosmetik
;