Video lagu 'Bendera Putih' dieksploitasi - Eddie Hamid

Muhafandi Muhamad
Julai 17, 2021 22:53 MYT
Menurut Eddie, gubahan lagu yang dihasilkan beliau dengan lirik ditulis oleh seorang bekas pegawai poliis, Goh Lee Shen itu mula dimuat naik pada 10 Julai lepas.
KOTA BHARU: Komposer Eddie Hamid tampil kesal apabila video lagu 'Bendera Putih' yang dinyanyikan oleh Roy Kapilla dieksploitasi dengan memaparkan tokoh politik dan menteri.
Menurut Eddie, gubahan lagu yang dihasilkan beliau dengan lirik ditulis oleh seorang bekas pegawai poliis, Goh Lee Shen itu mula dimuat naik pada 10 Julai lepas.
Bagaimana pun, sehari selepas dimuat naik di laman sosial, ada pihak yang mengubah dan membuat suntingan dengan meletakkan muka pemimpin negara.
"Saya sebenarnya muat naik video lagu berkenaan dengan kandungan dalam video itu memaparkan Roy Kapilla, bendera putih yang dinaikkan di rumah, ruangan dapur, gambaran kesedihan dan kesempitan sebahagian masyarakat," katanya kepada Astro AWANI.
"Bagaimana pun, sehari selepas dimuat naik, ada pihak yang mengambil kesempatan mengubah paparan dan membuat suntingan dengan memadamkan kandungan asal menggantikan dengan wajah pemimpin negara dan tokoh politik," ujarnya.
Kesal dengan tindakan itu, Eddie menjelaskan beliau tidak mahu rakyat dan pendengar menyalah ertikan serta mengheret suasana politik dalam lagu gubahannya sedangkan penyampaian lagu berkenaan bertujuan menggambarkan kesusahan dan keperitan sebahagian masyarakat yang terkesan dengan COVID-19.
"Tujuan lagu itu digubah dan dihasilkan adalah bagi menyokong tindakan rakyat yang terkesan dengan mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan sokongan dan bantuan, bahkan penghasilan lagu itu juga sebagai pengubat kesedihan buat peminat yang terkesan.
"Bahkan, beliau turut mengharapkan masyarakat yang terkesan tidak mengambil langkah lebih parah dengan menamatkan riwayat kerana setiap ujian yang menimpa ada jalan penyelesaian," katanya lagi.
Beliau berkata, lagu berkenaan tidak langsung berkait dengan sentimen politik sebaliknya hanya untuk melahirkan luahan hati rakyat yang terkesan.
Menurut Eddie, selepas lagu 'Bendera Putih' nyanyian Roy Kapilla di muat naik di YouTube ia mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai.
Eddie sebelum ini pernah menghasilkan lagu berbentuk nasihat, antaranya "Kelik La Wei", "Jangan Kelik La Wei" dan sebagainya.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua ahli parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.
BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM
BACA: PEMULIH: Semua Ahli Parlimen terima RM300,000 untuk Bantuan Bakul Makanan - PM
Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu.
Nilai keseluruhan Pakej PEMULIH yang diperkenalkan kerajaan itu adalah sebanyak RM150 bilion.
Ia bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu 'Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; Menyokong Perniagaan; dan Meningkatkan Vaksinasi'.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #laman sosial #COVID-19 #Roy Kapilla #Goh Lee Shen #Bendera putih
;