Video kontroversi anak: Saya tidak akan berdiam, yang mungkar akan ditegur meskipun keluarga sendiri - Ridhuan Tee

Nickyson Nyambar
Mei 25, 2022 20:07 MYT
Ridhuan menganggap apa yang berlaku adalah merupakan ujian daripada Allah untuk sentiasa beringat dan kuat menghadapi dugaan dalam kehidupan. - Facebook Mohd Ridhuan Tee Abdullah
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Profesor Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengambil iktibar daripada isu hangat didepani keluarganya ketika ini susulan video tular yang membabitkan anak keduanya, Syafi Tee baru-baru ini.
Mohd Ridhuan dalam hantaran di Facebooknya berkata, situasi berkenaan tidak akan membuatkannya berdiam diri dan membiarkan kemungkaran daripada terus berlaku.
"Saya akan terus menegur dan menjalan asas sebagai seorang Islam, amar makruf nahi mungkar.
"Sesiapa sahaja yang buat mungkar, akan saya tegur meskipun berada dalam keluarga saya sendiri. Teguran saya tidak hanya kepada artis, tetapi semua orang, tidak kira siapa," katanya berhubung video panas anaknya yang juga pendatang baharu dalam industri lakonan negara.
Ujarnya, beliau terdahulu tidak memberikan sebarang komen secara pantas kerana kesibukan dengan tugas seharian dan terlibat dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dan membentang kertas kerja.
Jelasnya, beliau bersyukur kerana ramai yang bertanya dan mengambil berat tentang dirinya dan keluarga.
"Kepada yang bersama saya, memberikan nasihat, menegur cara baik, moga Allah merahmatimu. Kepada yang bertepuk tangan dan bergembira, terima kasih juga seadanya.
"Apa yang berlaku, tidak akan menghalang saya untuk meneruskan kehidupan ini. Saya akan terus melaksanakan kewajipan saya sebagai seorang Islam, menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, sama ada secara lisan mahupun tulisan," kongsinya lagi.
Beliau menganggap apa yang berlaku adalah merupakan ujian daripada Allah untuk sentiasa beringat dan kuat menghadapi dugaan dalam kehidupan.
"Ingat, ujian ini sebenarnya untuk menguji di mana kelemahan kita, agar menjadi kuat. Yang lemah dalam urusan harta kadang diuji dengan harta.
"Yang lemah dalam urusan wanita kadang diuji dengan wanita. Yang lemah dalam urusan kepemimpinan diuji dengan pimpinannya. Masing-masing harus menyedari titik kelemahannya dan berusaha menguatkannya. Sudah tentu, ada yang lulus dan ada yang gagal.
"Saudaraku, pastikan apa yang menimpa kepada diri saya, tidak berlaku kepada saudaraku semua. Saya doakan yang terbaik untuk saudara di luar sana," tulis Ridhuan.
Katanya lagi, beliau sering menasihatkan Syafi yang lebih meminati dunia seni.
Beliau tidak melarang akan tetapi sering mengingatkan supaya anaknya itu pandai membawa diri dan memanfaatkan kerjaya itu untuk mendidik anak bangsa dan memberi manfaat kepada semua.
Media sosial sebelum ini hangat memperkatakan sebuah video berdurasi 26 saat yang memaparkan lelaki yang dipercayai Syafi bersama dengan seorang wanita berpelukan dan bercium.
Video berkenaan menjadi tular sehingga mengaitkan kontroversi itu dengan latar belakang Syafi yang dibesarkan dalam keluarga pendakwah.
#Video panas #kontroversi #pendakwah bebas #Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
;