Video judi raya: Jangan ganggu ketenangan umat Islam berpuasa - Saifuddin

Ridauddin Daud
April 18, 2021 14:24 MYT
Saifuddin Abdullah (dua dari kanan) mengadakan perbincangan bersama Fadhlullah Suhaimi (kiri), Ahmad (dua dari kiri) Idham dan Dev Kumar di Putrajaya pada Ahad. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak menggangu ketenangan umat Islam yang kini sedang berpuasa.
Mengulas berkenaan video judi raya yang tular baru-baru ini, Saifuddin berkata, penularan video itu sebenarnya dilihat mengganggu umat Islam yang sedang menjalani ibadat puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak.
Menurutnya, dalam dunia digital yang serba canggih sekarang, kerajaan mungkin tidak dapat mengawal segala-galanya, namun, beliau menegaskan, pihaknya memandang serius penularan video berkenaan.
"Dalam kehidupan masyarakat digital, adalah hampir mustahil nak kawal semua perkara. Kerajaan tetap pertahankan kebebasan media termasuk media sosial tapi tentulah ada batas-batasnya.
"Kita juga ada undang-undang. Kalau ada seseorang langgar sesuatu hal maka mereka harus bersedia untuk berdepan dengan hukuman. Kita amalkan kebebasan media.
"Tapi ia tidak bermakna bebas untuk menipu dan bebas untuk tularkan berita palsu," katanya dalam sidang media di pejabat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di sini pada Ahad.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Timbalan Pengarah (Risikan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar.
[TERKINI] Sidang media Menteri Komunikasi dan Multimedia
Tambah beliau, kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas dalam kes tersebut agar perkara itu tidak berlaku lagi pada masa depan termasuk melibatkan perayaan kaum lain.
"Seingat saya ini mungkin kali pertama berlaku tapi kita sangat serius dengan perkara ini. Kita harap tak berlaku lagi," tegasnya.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menasihatkan pelakon lebih berhati-hati selepas ini dalam menerima tawaran berlakon.
"Saya rasa dunia seni dan budaya tida kekeringan tawaran pekerjaan untuk drama, filem dan sebagainya.
"Memang benar masa awal COVID-19 dulu tiada penggambaran, tiada 'live show' tetapi sejak dari awal tahun, ada banyak tawaran telah mula keluar," katanya.
#judi raya #video #Saifuddin Abdullah #puasa #Ramadan #Hari Raya Aidilfitri #Umat Islam
;