Video intim: Fitnah untuk jatuhkan Menteri Kabinet - Khairuddin

Astro Awani
Jun 11, 2019 20:03 MYT
Kata Khairuddin, rakyat juga tidak mahu lagi membuang masa melayani perkara-perkara yang tidak berfaedah ini. - Gambar fail
Sebuah video intim yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii mirip seorang Menteri Kabinet merupakan usaha memfitnah serta mematikan karier politik individu berkenaan yang kini berada di tahap amat memberangsangkan.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, ia sekali gus usaha jahat pihak tertentu yang tidak akan menemui kejayaan.
“Kalangan bankrap idea ini tidak akan berjaya kerana video tersebut adalah orang yang berbeza. Sekali imbas pun saya sudah tahu itu bukan Menteri Kabinet berkenaan.
“Bukan saya hendak menyebelahi Menteri Kabinet kerkenaan tetapi tokoh-tokoh pemimpin muda Melayu yang berwibawa harus dipertahankan.
“Berbelas tahun saya bermusuh di dalam arena politik dengan Menteri Kabinet berkenaan dan sehingga kini saya masih tidak rapat dengan beliau walaupun kami sudah berdamai serta bermaafan antara satu sama lain. Saya masih bukan dalam 'circle' beliau juga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
BACA: 'Saya tidak tahu menahu tentang video 'intim' tular mirip Menteri' - Tun M
Terdahulu, beberapa klip video yang didakwa mirip seorang Menteri Kabinet tular di sistem pesanan ringkas, WhatsApp.
Jelas Khairuddin, Menteri Kabinet berkenaan adalah seorang tokoh pemimpin muda yang berwibawa yang harus dipertahankan kerana beliau adalah salah seorang aset negara yang terbaik.
“Menteri Kabinet berkenaan juga tidak perlu melayan kerja-kerja bodoh ini yang tidak berasas. Di zaman siber, puak-puak jahat ini ataupun musuh-musuh politik boleh mencipta apa saja untuk memfitnah orang.
“Telefon saya sendiri sering diceroboh serta diklonkan. Puak jahat ini dapat menggunakan telefon pintar untuk melakukan apa saja bagi memfitnah.
“Berkali-kali melihat gambar dan video itu, saya sudah dapat buat kesimpulan bahawa ianya tidak berasas sama sekali,” katanya.
Tegasnya, ia tindakan puak terdesak selain musuh politik Menteri Kabinet itu yang sengaja mahu mensabotaj seterusnya menghancurkan kareer politiknya.
“Ini bukan perbuatan pertama kali mereka. Sudah berkali-kali mereka melakukan perbuatan paling keji ini terhadap Menteri Kabinet itu. Saya sendiri tidak akan menghiraukan fitnah itu seandainya saya adalah Menteri Kabinet berkenaan.
“Memberi perhatian kepada perkara-perkara berunsur fitnah dan jahat ini adalah perbuatan buang masa semata-mata.
“Keseluruhan rakyat hendak melihat kita memberi tumpuan kepada kerja-kerja untuk membina semula Malaysia yang telah dirosakkan secara teruk oleh kerajaan kleptokrasi terdahulu semata-mata,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat juga tidak mahu lagi membuang masa melayani perkara-perkara yang tidak berfaedah ini.
"Kita sudah lali dan terlalu biasa dengan agenda-agenda jahat dalam arena politik. Jadi tidak perlulah lagi kita pula menjadi bodoh untuk melayani puak-puak yang tidak berguna ini,” katanya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini turut berkata, beliau tidak tahu menahu tentang sebuah video intim yang didakwa mengandungi aksi seks luar tabii mirip seorang Menteri Kabinet.
#fitnah #kabinet #kerajaan #Mahathir Mohamad #Melayu #menteri #musuh politik #Parlimen #politik #rakyat #seks #telefon pintar #video #WhatsApp
;