Video intim: Farhash dan Haziq bebas reman
Astro Awani
Julai 23, 2019 17:33 MYT
Julai 23, 2019 17:33 MYT
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan bekas AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan reman bagi siasatan kes video intim dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi.
Farhash dan Haziq meninggalkan Balai Polis Dang Wangi kira-kira jam 4 petang dan disambut oleh penyokong PKR yang menunggu sejak jam 1 petang lagi.
Turut dibebaskan adalah seorang lagi rakan Farhash yang ditahan di Masai, Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Seorang lagi individu iaitu ahli perniagaan yang ditangkap di Shah Alam sebelum ini akan tamat reman esok,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Haziq dan lima rakannya ditahan dalam satu operasi di sekitar Lembah Klang bermula jam 6 petang hingga 10 malam pada 15 Julai lalu oleh Unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Lima individu tersebut kemudiannya dibebaskan.
Keesokannya, Farhash dan dua lagi rakannya ditahan di sekitar Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang. Seorang daripada mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.
#bebas reman
#Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
#Haziq Abdullah
#Huzir Mohamed
#Unit Jabatan Siasatan Jenayah
#video intim