Video intim, apa seterusnya?
Hakim Rahman
Julai 19, 2019 12:54 MYT
Julai 19, 2019 12:54 MYT
AWAL pagi Selasa (11 Jun) lalu tular beberapa rakaman video dua lelaki melakukan hubungan sejenis dan salah seorang daripadanya didakwa mirip seorang menteri kanan.
Menteri yang dimaksudkan ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang selang beberapa hari tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau lelaki dalam video intim berkenaan.
Klip video itu disebarkan melalui kumpulan Whatsapp yang dinamakan “Jemputan Hari raya ###”
Kurang 12 jam selepas itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama mengakui dia adalah salah seorang daripada individu dalam video tersebut.
Selain membuat pengakuan secara terbuka mengadakan hubungan intim itu, Haziq turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Azmin yang didakwanya terlibat dalam rasuah.
Astro AWANI gariskan antara fakta yang akan membuka perspektif anda berhubung isu video intim yang menggemparkan seluruh negara:
Apa Yang Berlaku?
- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kepada Azmin untuk melepaskan jawatan sekiranya individu dalam video itu adalah beliau.
- Azmin pula dalam reaksi segera meminta Anwar muhasabah diri dan cermin diri sendiri sebelum mencadangkan perkara tersebut kepadanya.
- Dalam masa sama, 27 pemimpin PKR menyatakan sokongan terhadap Azmin sekali gus menemplak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.
- Anwar tidak melihat timbalannya sebagai ancaman yang bakal menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri ke-8 seperti yang dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan.
- Malah Anwar mendakwa, beliau mempunyai sokongan sejumlah Ahli Parlimen PKR, Pakatan Harapan dan restu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara.
- Beberapa Pengerusi Negeri PKR tampil menyatakan sokongan kepada Anwar dan lebih ramai dijangka akan melakukan perkara yang sama dalam masa terdekat.
- Ekoran kemelut yang berlaku dalam PKR, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak ada masa untuk berfikir tentang 'ribut' yang melanda parti berkenaan ketika ini kerana ada banyak perkara lain untuk difikirkan beliau.
BACA: Video intim: Azmin minta Anwar muhasabah, cermin diri sendiri
Adakah video berkenaan tulen?
- Hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi.
- Bagaimanapun, proses pengecaman wajah (facial recognition) didapati negatif dan tidak dapat mengaitkan atau mengesahkan identiti lelaki dalam video tersebut.
Kenapa video intim disebarkan?
- Siasatan pihak polis mendapati wujud konspirasi dalam penyebaran video intim itu untuk menjatuhkan seseorang dan didalangi seorang pemimpin parti politik.
- Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, video itu disebarkan dengan tujuan untuk membangkitkan kegusaran rakyat serta mengaib dan menjatuhkan reputasi seseorang.
- Siasatan polis juga mendapati video tersebut telah dihasilkan oleh pihak tertentu dengan upah ratusan ribu ringgit.
Mengapa rakyat perlu peduli?
- Jika pergeseran dalaman PKR berpanjangan ia dikhuatiri akan menjejaskan jentera kerajaan yang sepatutnya fokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- Riwayat politik individu tertentu boleh dipengaruhi dan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam parti itu malah tidak keterlaluan ia boleh menyebabkan Pakatan Harapan goyah atau mungkin berpecah.
- Proses peralihan kuasa antara Dr Mahathir kepada Anwar boleh terjejas atau tertangguh dan Dr Mahathir mungkin memegang tampuk kepimpinan lebih lama.
- Jika perpecahan dalaman PKR tidak ditangani dengan bijaksana, dikhuatiri sokongan terhadap Anwar untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 akan terjejas.
#AMK
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Bakal PM-8
#kemelut dalaman
#Pakatan Harapan
#PKR
#sokongan
#video intim