Video individu diseksa renjatan elektrik berlaku di luar negara
Sinar Harian
Jun 3, 2022 08:00 MYT
Jun 3, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Video tular yang memaparkan dua mangsa diseksa dengan alat renjatan elektrik dipercayai bukan warga Malaysia dan insiden tersebut berlaku di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkenaan penularan dua video berdurasi 54 saat dan satu minit 47 saat yang memaparkan dua individu itu diseksa dengan alat renjatan elektrik.
"Video pertama memaparkan seorang wanita dipercayai warga Vietnam digari di atas katil dan diugut dengan alat renjatan elektrik, manakala dalam video kedua pula seorang lelaki turut digari di atas katil dan didera dengan alat yang sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Abd Jalil berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video tersebut kerana dikhuatiri ianya mampu mencetuskan kegusaran dengan penyebaran video yang tidak diketahui kesahihannya.
"Kita amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang perkara ini, sebarang maklumat boleh disalurkan di balai polis yang berdekatan," ujarnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.