Video hina Islam: Suspek dipercayai berada di luar negara - KPN

Bernama
Mac 7, 2025 16:25 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Lelaki yang disyaki menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam dipercayai berada di luar negara.

Ringkasan AI
  • Lelaki yang disyaki menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam dipercayai berada di luar negara, dan usaha mengesannya sedang dijalankan oleh pihak polis.
  • Video yang memaparkan beberapa individu menghina umat Islam telah tular di media sosial, dipercayai berkaitan dengan isu penyampai radio yang didakwa menghina agama Hindu.
  • Kes ini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
"Namun kita percaya dia berada di luar negara," katanya ringkas.
Semalam, Razarudin berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang memuat naik video tular di laman sosial sejak Rabu yang didakwa menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.
Beliau berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Bentong, Pahang, petang Rabu.
Video itu memaparkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina umat agama Islam, dipercayai dihasilkan ekoran isu melibatkan penyampai radio yang didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu, namun telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.
-- BERNAMA
#video hina Islam #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #suspek di luar negara #terkini
;