Video 'hantu' dalam masjid sekadar gurauan
Sinar Harian
Oktober 31, 2021 12:06 MYT
Oktober 31, 2021 12:06 MYT
KUALA TERENGGANU: Klip video memaparkan seorang wanita mengenakan pakaian serba putih berlegar-legar di ruang solat di Masjid Jamek Kampung Banggol Peradong di sini yang tular sejak minggu ini disahkan sekadar gurauan semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Banggol Peradong, Manir, Zulkifli Mamat berkata, selepas pihaknya dimaklumkan video berdurasi 33 saat itu sudah tersebar di media sosial, siasatan terus dijalankan bagi mencari kebenaran rakaman tersebut.
Menurutnya, beliau juga tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang ramai terutama penduduk bersebelahan kampung dan pihak berkuasa untuk mendapatkan kesahihan video tersebut.
"Kali pertama saya melihat rakaman video berkenaan, memang terdetik rakaman itu sekadar 'suka- suka' kerana sepanjang video itu menjadi perhatian warganet, perkara tersebut langsung tidak dijadikan topik bualan penduduk setempat termasuk jemaah tetap masjid berbeza dengan situasi sebelum ini.
"Bagaimanapun bagi mendapatkan kesahihannya, saya meminta kerjasama barisan jawatankuasa masjid menyiasat daripada mana punca rakaman itu, sebelum kami dimaklumkan ada sesetengah pihak yang berniat untuk bergurau dan mereka tidak menyangka rakaman itu tersebar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Zulkifli, pihak yang bertanggungjawab merakam video itu mengaku mereka sekadar hendak bergurau dengan beberapa jawatankuasa yang ditugaskan membaik pulih kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid.
"Buat pengetahuan, masjid kami baru beberapa bulan disediakan kemudahan CCTV yang dipasang di beberapa sudut, jadi bagi memastikan kelancaran fungsi CCTV ini, kami menubuhkan satu jawatankuasa yang bertanggungjawab memantau sepenuhnya kemudahan ini.
"Pihak terlibat mengaku mereka sekadar membuat rakaman itu untuk suka-suka dan langsung tidak terfikir yang rakaman itu menjadi tular, malah mereka tidak mengetahui bagaimana rakaman itu boleh terlepas ke tangan pihak tidak bertanggungjawab yang seterusnya menyebarkan kepada masyarakat," katanya.
Katanya, selepas ini orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu takut untuk datang berjemaah beramai-ramai di masjid ini kerana apa yang didakwa itu tidak pernah berlaku di masjid ini.
*Berita asal di Sinar Harian