Video disunting, komplot jatuhkan imej - Mohammad Agus

Assim Hassan
November 17, 2023 22:35 MYT
Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam sidang media pada Jumaat. - Astro AWANI
BANGI: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff mendakwa audio pada video perbualan songsang yang bersama seorang lelaki bernama Wahab adalah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mohammad Agus berkata, video yang disunting kemudian tersebar itu adalah komplot dilakukan seorang individu bergelar Mr.H untuk menjatuhkan kredibiliti, imej dan maruah beliau.
"Saya ingin katakan bahawa video itu suatu yang diubah, satu yang 'edited' (disunting)... saya yang difitnah, video itu sudah 'edit' (disunting).
"Kita sudah belajar bagaimana sesoerang itu jatuh dengan tuduhan seksual dan ini berlaku pada saya,"katanya.
Bagaimanapun, Mohammad Agus menjelaskan, dia ada mengadakan perbualan video bersama Wahab.
Beliau telah membuat laporan polis petang jumaat dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.
"Saya kenal tapi biarlah pihak berkuasa jalankan siasatan," tambahnya.
Video itu dikatakan mula tersebar selepas dikongsikan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun Tik Tok miliknya.
Jelas Mohammad Agus, beliau mempunyai hubungan baik dengan Wahab dan menganggap pegawai yang baru berkhidmat di J-KOM selama dua minggu itu sebagai naif.
Turut bersama dalam sidang media itu ialah Wahab, atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir.
Menurut Abdul Wahab, dia merakam video mereka atas arahan Mr.H namun video asalnya tidak mempunyai audio.
Abdul Wahab yang memegang jawatan penolong pegawai di J-KOM mendakwa turut dijanjikan jawatan lebih tinggi oleh Mr.H.
"Saya ingin menegaskan audio dalam video itu adalah palsu, direka dan tidak benar. Penyebaran fitnah tersebut menjejaskan maruah saya.
"Saya sedar saya dipergunakan dan tidak sekadar kambing hitam oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan Datuk Mohammad Agus," katanya.
#Mohammad Agus Yusoff #Jabatan Komunikasi Komuniti #J-KOM #abdul wahab abdul kadir
;