Video Daish: "Jangan cuba gertak kami" - KPN
Tan Su Lin
Jun 24, 2016 10:46 MYT
Jun 24, 2016 10:46 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak gentar dengan ugutan ancaman yang dibuat oleh kumpulan Daish (IS) yang dimuat naik dalam satu video baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, ini bukan video pertama dikeluarkan kumpulan berkenaan dan pihaknya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dan tidak takut menghadapi ancaman kumpulan militan itu.
Beliau juga menegaskan bahawa PDRM tidak akan sekali-kali membenarkan elemen Daish untuk bertapak dan menyebar luas fahaman mereka di negara ini.
"Janganlah cuba nak gertak kami walaupun polis tidak memandang ringan ugutan-ugutan yang dibuat oleh kumpulan ini tetapi kami terlalu "tua" untuk terima gertakan seperti ini. Kami (polis) sudah berusia 209 tahun jangan cuba nak gertak kami."
"Setakat nak buat ugutan dari jauh, kalau berani baliklah. Saya percaya dan penuh yakin keseluruhan anggota PDRM, kita akan tingkatkan kesiapsiagaan dan kita tidak akan gentar dengan ugutan melalui video oleh kumpulan ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Go-To-Safety-Point di Stesen Petronas Kolam Ayer Lama, di sini, hari ini.
Dalam video berdurasi dua minit 42 saat yang dimuat naik Selasa lalu, tiga individu dipercayai rakyat Indonesia, Filipina termasuk seorang rakyat Malaysia, mengugut untuk menyerang dan memenggal leher warga Bukit Aman.
Kandungan mesej video berkenaan juga menghasut individu yang menyokong Daish supaya bangkit menentang kerajaan termasuk di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya telah menerima tiga lagi laporan polis daripada individu yang didakwa diperas ugut Pengerusi Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk Seri R Sri Sanjeevan selepas beliau ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memeras ugut seorang pengendali judi ekor tanpa lesen.