Video Buli: Lima pelajar mengaku bersalah

Astro Awani
November 6, 2014 20:43 MYT
Lima remaja terbabit membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Juvana Kangar Perlis.
Lima pelajar mengaku bersalah di Mahkamah Juvana Kangar hari ini atas tuduhan merusuh sehingga menyebabkan seorang rakan mereka tercedera di sebuah asrama anak yatim, Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah, Jejawi, Kangar, 24 Mei lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.
Semua tertuduh berusia antara 13 dan 16 tahun didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun seorang daripada tertuduh yang berusia 15 tahun tidak hadir ke mahkamah.
Norhayati menetapkan kes dibicarakan semula dan jatuh hukum pada 24 Disember 2014 sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau turut menetapkan kesemua pelajar diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad.
Kesemua remaja itu tidak diwakili peguam manakala peguam Razairul Hafiz Md Razib bertindak sebagai peguam pemerhati.
Rakaman kejadian buli yang menunjukkan mangsa dipukul beramai-ramai berdurasi enam minit 51 saat mula tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu dan meraih simpati orang ramai.
#Asrama Anak Yatim #buli #Mahkamah Juvana Kangar Perlis #video buli
;