Video ancaman: Polis kenal pasti dua militan Daish warga Malaysia
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Januari 25, 2016 12:51 MYT
Januari 25, 2016 12:51 MYT
Polis telah mengenal pasti dua wakil militan Daish (IS) yang dilaporkan mengancam untuk membalas dendam dengan melancarkan serangan di negara ini.
Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata dua individu warganegara Malaysia itu adalah Abdul Halid Dari dan Mohd Nizam.
"Dalam video itu (ada) dua orang sahaja. Memang kita sudah kenal pasti.
"Seorang itu berasal dari Kedah, Abdul Halid dan seorang lagi Mohd Nizam, itu yang keluar selalu dalam media," katanya ketika ditemui media pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di sini hari ini.
Bagaimanapun, jelas Ayub, kedua-dua individu itu kini berada di Syria.
Malah, beliau turut mengakui militan Daish kini telah mempunyai jaringan secara langsung dengan kumpulan militan di Syria selain lebih terancang dalam membuat serangan.
"Memang (mereka) sudah ada hubungan. Malah, yang kita tangkap lapan orang (sebelum ini) memang ada hubungan dengan rakyat Malaysia di sana (Syria).
"Ini bukan sesuatu benda yang baru. Memang dari awal juga, dari Jemaah Islamiah (JI) dulu memang ada jaringan antrara serantau dan global," katanya.
Hingga kini, Ayub yakin tindakan kumpulan pengganas ini hanya di peringkat perancangan dan belum memasuki peringkat implimentasi.
Memetik laporan The Star, menerusi rakaman video yang disiarkan dalam dalam Bahasa Malaysia, unit militan Daish Malaysia-Indonesia yang dipanggil Katibah Nusantara mengancam untuk membalas dendam berikutan penangkapan ahli-ahlinya.
Bertajuk "Mesej Awam Kepada Malaysia" video yang memberi amaran: "Jika anda tangkap kami, kami akan terus meningkatkan bilangan anggota, tapi jika anda biarkan kami...kita akan lebih dekat dengan matlamat untuk membawa kembali kedaulatan khalifah.
"Mereka yang menamakan kami sebagai Khawarij (ingkar), Daish (nama lain IS) dan juga sebagai agen Mossad sebenarnya Syiah dan sekutunya.
"Kami tidak akan tunduk kepada sistem demokrasi tadbir urus kerana kami hanya akan mengikut undang-undang Allah."
Selain itu terdapat satu lagi video yang menyeru 'saudara' Katibah dari Somalia iaitu Al-Shabaab untuk menyertai kumpulan mereka.
Dalam video yang berdurasi lebih seminit itu, militan Katibah berkenaan yang fasih bercakap dalam Bahasa Malaysia menggesa rakan mereka dalam Al-Shabaab untuk menyertai IS dan jihad mereka.