Victoria STS Labuan laksana inisiatif penjagaan terumbu karang

Bernama
Januari 26, 2023 15:33 MYT
Taman Laut Labuan terdiri daripada tiga pulau iaitu Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.- Fail BERNAMA
LABUAN: Victoria STS (Labuan) Sdn Bhd bersetuju melaksanakan inisiatif penjagaan terumbu karang di sekitar Taman Laut Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Benjamin Bernard Bijion berkata Victoria STS akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perikanan Labuan untuk melindungi dan memelihara 'hutan hujan di laut' itu yang merupakan ekosistem hidup yang menyediakan kehidupan dan habitat buat pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan marin.
Victoria STS ialah syarikat berkaitan maritim berlesen yang berpangkalan di Labuan dan mengendalikan operasi kapal ke kapal bagi produk minyak dan gas cecair dalam had Pelabuhan Victoria, yang terletak bersebelahan dengan Pulau Kuraman, satu daripada pulau dilindungi di taman laut.
"Kami telah mengadakan perbincangan melalui taklimat hari ini dengan pengarah perikanan Labuan dan pasukannya mengenai inisiatif berkenaan dan kami gembira dapat memainkan peranan kami dalam menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi pemuliharaan Taman Laut Labuan.
"Apabila terumbu karang dimusnahkan, ia mempunyai impak besar terhadap kehidupan marin dan manusia...ramai komuniti pantai bergantung kepada terumbu karang untuk makanan dan mata pencarian, terumbu karang juga membawa hasil kepada masyarakat tempatan...terumbu karang yang sihat menyokong perniagaan dalam industri perikanan dan pelancongan," katanya kepada Bernama hari ini.
Benjamin berkata usaha untuk menambah bilangan penyelam tempatan yang bertauliah sedang dirancang sebagai sebahagian daripada program penjagaan itu.
"Victoria STS juga akan bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk mempromosi amalan penangkapan ikan yang lestari dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan habitat ini," katanya.
Beliau berkata terumbu karang mungkin berkurangan disebabkan oleh aktiviti penangkapan ikan yang berlebihan dan teknik menangkap ikan yang merosakkan.
"Pembangunan pantai dan pencemaran dengan mudah boleh memusnahkan sistem terumbu karang yang mengambil masa beratus tahun untuk tumbuh semula, sebab itu kita memerlukan penyelam bertauliah yang mencukupi untuk membantu kita dalam program ini.
"Pengambilan terumbu karang sebagai anak angkat bermaksud anda menyokong agensi kerajaan berkaitan yang berusaha ke arah perlindungan terumbu karang...agensi kerajaan ini telah melaksanakan misinya untuk melindungi terumbu karang melalui pelbagai penyelidikan, pendidikan dan program pemuliharaan, dan kami akan menyokongnya," katanya.
Taman Laut Labuan terdiri daripada tiga pulau iaitu Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.
-- BERNAMA
#Labuan #Victoria STS #terumbu karang #pelancongan
;