Victoria Institution muncul juara kawad padang MIMAC 2024
Bernama
Ogos 10, 2024 13:34 MYT
Ogos 10, 2024 13:34 MYT
IPOH: Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan Pertandingan Kawad Padang pada Malaysia International Marching Arts Championships (MIMAC) 2024 berlangsung di sini malam tadi.
Lebih manis, VI turut menjuarai kategori Seniors, mengetepikan Sekolah Menengan Jenis Kebangsaan (SMNK) Nan Hwa, Sitiawan yang menduduki tempat kedua manakala pasukan pancaragam Universiti Teknologi mara (UiTM) Shah Alam, ketiga.
Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Adika Raja, Gerik pula mengungguli kategori Juniors, diikuti SK St Anthony, Teluk Intan di tempat kedua manakala SK Temenggong Abd Rahman 1, Johor Bahru di tempat ketiga.
MIMAC 2024 yang berlangsung pada 8 hingga 10 Ogos di Stadium Perak itu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih 2, 000 peserta, pegawai dan guru dari empat negara, China, Indonesia, Sri Lanka dan tuan rumah Malaysia.
Kejohanan yang bermula sejak 2007 itu menampilkan barisan juri dari Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand dan penganjuran kali ini mencatatkan sejarah apabila menerima penyertaan tertinggi berbanding sebelumnya di Johor Bahru.
Kesemua peserta akan berentap bagi kategori Marching Show Band dan Drummers Face-off Grand Finals hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dalam ucapannya berkata penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa itu selaras dengan usaha merancakkan promosi Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024) dalam menggamit kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Penganjuran acara ini adalah amat bertepatan serta selaras dengan pengisytiharan lpoh sebagai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik.
"Acara ini juga memberi peluang kepada intitusi pendidikan mengetengahkan kebolehan serta kemahiran pelajar yang bertanding dalam bidang ini seiring dengan pelajar-pelajar antarabangsa," katanya.
Turut hadir Pengerusi Penganjur MIMAC 2024 Datuk Mohd Odzman Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Nurmalis Musa dan Pengurus Besar People Of Remarkable Talents (PORT) Nur Hanim Khairuddin.
Rumaizi berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa memastikan kemudahan prasarana yang serba lengkap disediakan bagi menggalakkan acara bertaraf antarabangsa diadakan di lpoh sekali gus dapat membantu mempromosikan destinasi pelancongan di Ipoh dan Perak.
"Saya percaya semua pihak khususnya pemain industri pelancongan telah membuat persiapan serta bersedia menerima kehadiran pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak," katanya.
-- BERNAMA
#Victoria Institution
#Pertandingan Kawad Padang
#Malaysia International Marching Arts Championships
#juara keseluruhan