Veteran UMNO mahu Tun Mahathir dikenakan tindakan Akta Hasutan
Bernama
April 10, 2016 19:52 MYT
April 10, 2016 19:52 MYT
Veteran UMNO meminta kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir kerana perbuatannya yang cuba mendapatkan campur tangan kuasa asing dalam hal pentadbiran negara.
Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu telah melampaui batas dan jelas menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Veteran UMNO tidak mahu kerajaan berkompromi dalam hal kestabilan negara dan tidak sewajarnya membenarkan mana-mana rakyat negara ini mensabotaj negara sendiri.
"Tidak harus ada pertimbangan dan tolak ansur demi maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam temu bual dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa harapan Najib untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar.
Mustapha berkata sikap Dr Mahathir membuktikan beliau sedang berhadapan dengan satu keadaan pertentangan jiwa di antara rasional dan emosional.
"Tun Mahathir sanggup menjilat ludahnya sendiri dan membelakangi prinsipnya yang suatu masa dahulu amat membenci campur tangan asing dalam hal pentadbiran negara ini.
"Jelas Tun Mahathir bersikap 'double standard'. Beliau tidak mahu kuasa asing campur tangan semasa pemerintahannya, tetapi beliau sendiri yang berusaha mendapatkan pengaruh kuasa asing untuk menjatuhkan Najib," katanya.