Veteran UMNO Hussein Ahmad meninggal dunia
Sinar Harian
September 13, 2024 10:20 MYT
September 13, 2024 10:20 MYT
PASIR MAS: Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Kampung Lemal, di sini, hari ini.
Hussein, 90, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada jam 7 pagi.
Cucu Allahyarham, Mohamad Radzuan Rosli, 34 tahun, berkata, datuknya dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian seminggu lalu akibat sesak nafas.
“Datuk kemudian dibenarkan pulang pada Rabu lalu dan pagi tadi beliau sudah terjaga dari tidur, namun kembali sukar untuk bernafas.
“Ahli keluarga yang ada bersama sempat mengajarkannya mengucap sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurut Mohamad Radzuan, datuknya itu menghidap penyakit Parkinson sejak sekian lama manakala isteri arwah, Puan Sri Khadijah Ibrahim yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, terlebih dahulu meninggal dunia tiga tahun lalu.
Katanya, Hussein meninggalkan enam anak, lebih 30 cucu dan 20 cicit.
“Jenazah datuk akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas selepas solat Jumaat,” katanya.
Hussein yang juga dikenali sebagai Hussein Serama antara pemimpin paling lama memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia iaitu selama 14 tahun dari 1982 hingga 1999.
Beliau sekian lama berkeadaan uzur berikutan penyakit dihidapi dan pernah diserang strok.
Hussein juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan dari tahun 1978 hingga 1982. - Sinar Harian