Veteran UMNO Abdul Aziz Tapa meninggal dunia
Bernama
Oktober 4, 2016 13:26 MYT
Oktober 4, 2016 13:26 MYT
Veteran UMNO Tan Sri Abdul Aziz Tapa meninggal dunia di Hospital Putra di sini pada 11.55 pagi tadi.
Anak Allahyarham, Amir Hamzah berkata doktor masih melakukan pemeriksaan bagi menentukan punca kematian Abdul Aziz, 93.
"Allahyarham akan dikebumikan di kampung asalnya di Kampung Rim, Jasin setelah proses di hospital ini (Hospital Putra) selesai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Abdul Aziz, yang dilahirkan di Kampung Rim, Jasin pada 13 Jun 1923, merupakan seorang guru sebelum berkecimpung dalam dunia politik pada 1946 dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor iaitu gerakan anti-Malayan Union diketuai Datuk Onn Jaafar.
Allahyarham pernah memegang jawatan penting dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka termasuk Pengerusi Biro Veteran UMNO Melaka, Bendahari BN Melaka, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Jasin dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin.
Beliau pernah menjadi Senator Dewan Negara dari 1975 hingga 1977 serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nyalas pada 1978 dan ADUN Rim pada 1982.
Antara anugerah yang pernah diterimanya ialah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 1986, Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka 2003 dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1427H/2006M Negeri Melaka.
Bagi mengenang jasa Abdul Aziz dalam perjuangannya untuk orang Melayu, Abdul Aziz dianugerahkan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2016 semasa Hari Ulang Tahun UMNO Ke-70 pada 12 Mei lepas. -- BERNAMA