Veteran tentera tidak berpencen rayu tambahan RM200 untuk bantuan sara hidup
Bernama
Jun 25, 2022 13:52 MYT
Jun 25, 2022 13:52 MYT
KOTA BHARU: Lebih 71,000 veteran tentera di seluruh negara yang berdaftar di bawah Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) merayu kerajaan agar menaikkan bantuan sara hidup bulanan mereka.
Timbalan Presiden PVTTBM Mohd Rani Hussin berkata setakat ini ahli persatuan yang berdaftar hanya menerima bantuan kos sara hidup sekitar RM300 sebulan dan nilai berkenaan dilihat tidak setimpal terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.
Beliau berkata PVTTBM berharap kerajaan menaikkan nilai bantuan sekurang-kurangnya RM200 sebulan memandangkan hampir 50 peratus daripada ahli persatuan dikategorikan sebagai veteran yang daif dan perlu dibantu.
"Pihak kami sering turun padang menziarahi veteran tentera ini yang rata-rata berusia sekitar 40 tahun dan ada mencecah 80 tahun ke atas. Kami mendapati kebanyakan mereka daif, tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri selain turut menghidap penyakit kronik.
"Selain itu, kami turut berharap kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dapat memberi sumbangan rumah baharu kepada veteran yang tiada tanah dan rumah sendiri untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan PVTTBM di sini hari ini.
Mohd Rani berkata persatuan itu turut berharap kerajaan memberikan elaun khas kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi menghargai jasa kepada negara.
"Setakat ini dianggarkan terdapat lebih 200,000 penerima dengan ada dalam kalangan mereka yang cedera termasuk patah kaki dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA