Veteran politik Kedah, Khalid Abdullah meninggal dunia
Bernama
November 18, 2020 16:47 MYT
November 18, 2020 16:47 MYT
ALOR SETAR: Tokoh politik Kedah yang juga veteran UMNO, Tan Sri Khalid Abdullah meninggal dunia akibat sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC) di sini, hari ini.
Allahyarham Khalid, 98 tahun, meninggal dunia pada 5.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu pada Ahad lepas.
Menurut isteri Allahyarham, Puan Sri Norjannah Khairuddin, 61 tahun, sejak Jumaat suaminya sudah tidak boleh makan dan pada Sabtu kesihatannya semakin merosot menyebabkan mereka menghantar arwah ke hospital (pada Ahad) dan terus dimasukkan ke ICU.
Arwah tiada apa-apa sejarah penyakit cuma petang semalam arwah penat... Pada 5 pagi tadi, semasa jururawat nak periksa tekanan darah, arwah dah tak bagi tindak balas,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Hussain Seberang Pumpong di sini, hari ini.
Khalid yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Merah (1975-1980) pernah memegang jawatan antaranya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Tokoh Maal Hijrah 2008 itu, meninggalkan seorang balu, lima anak (seorang telah meninggal dunia), 17 cucu dan 24 cicit.
#Khalid Abdullah
#meninggal dunia
#Norjannah Khairuddin
#ADUN Alor Merah
#Ahli Majlis Tertinggi UMNO
#Tokoh Maal Hijrah