Veteran pohon elaun sara hidup bagi anggota yang tidak berpencen
Bernama
Februari 5, 2017 10:02 MYT
Februari 5, 2017 10:02 MYT
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) merayu agar kerajaan mempertimbangkan permohonan penyediaan skim elaun sara hidup secara automatik kepada anggotanya apabila mencapai usia 60 tahun.
Presidennya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata skim yang dicadangkan itu itu akan dikhaskan kepada anggota persatuan yang tidak berpencen dengan elaun RM500 sebulan.
Katanya, ini berikutan lebih 200,000 ahli yang memohon bersara sebelum memasuki skim berpencen kini berdepan masalah kos sara hidup termasuk tidak memiliki rumah sendiri.
"Kebanyakan bekas tentera yang memilih bersara awal pada usia 30-an terpaksa mencari pekerjaan sendiri dan dikategorikan sebagai golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan.
"PVATM menyarankan kepada anggota yang sedang berkhidmat sekarang supaya mencukupkan tempoh 21 tahun berkhidmat mereka agar layak masuk ke skim berpencen atau kaedah diwujudkan supaya setiap anggota ATM dapat mencukupkan tempoh perkhidmatan untuk membolehkan mereka bersara dengan mendapat ganjaran pencen," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada ahli persatuan yang kurang upaya Wan A Razak Wan Jusoh, 59, di Kampung Renek, di sini, semalam.
Mohd Anwar turut berharap agar kerajaan negeri turut sama menimbang bagi menyediakan kawasan tapak perumahan untuk dibina oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera bagi anggotanya.
"Ini sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada anggota ATM termasuk melihat semula jumlah pencen yang dinikmati bekas anggota ATM yang tamat perkhidmatan sebelum tahun 1994 yang begitu ketara perbezaannya," katanya.
-- BERNAMA