Veteran ATM jangan dengar hasutan jatuhkan kerajaan
Bernama
November 19, 2017 07:43 MYT
November 19, 2017 07:43 MYT
Anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang berkepentingan politik dan mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata beliau menerima laporan ada veteran yang memburukkan kerajaan menggunakan platform politik kerana mahu mencapai cita-cita politik mereka.
"... sekarang saya tengok ada veteran yang bercita-cita nak jadi wakil rakyat dan mereka inilah yang menghasut veteran lain untuk kepentingan politik mereka sedangkan banyak bantuan dan imbuhan diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Institut Kemahiran Belia Negara, di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mej. Jen. Datuk Mohamad Khir Abdullah.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Johari berkata peralihan kuasa belum tentu akan membawa perubahan yang lebih baik seperti yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah sebelum ini.
"Banyak negara seperti Libya, Iraq dan Lubnan sebelum ini menjadi negara yang aman dan maju, tetapi disebabkan kepincangan politik dan hasutan, rakyatnya menumbangkan kerajaan sedia ada, namun keadaannya lebih teruk sehingga ke hari kini," katanya.
Sementara itu, Mohd Johari menggesa anggota tentera yang telah bersara menyertai persatuan berkaitan tentera agar mereka tidak tercicir daripada sebarang bantuan yang disalurkan.
"Mereka kata tidak menerima sebarang bantuan setelah tamat perkhidmatan, maka timbullah pelbagai andaian negatif terhadap kerajaan sehingga merasa tersisih dan mudah terpengaruh dengan hasutan untuk menjatuhkan kerajaan... jadi saya menyeru daftar dan sertailah persatuan veteran," katanya.
Pada majlis itu, seramai 242 veteran ATM dan balu veteran ATM dari Kedah dan Perlis menerima anugerah PJM kerana berkhidmat ketika ancaman Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara bermula Januari 1969 hingga 1990.
-- BERNAMA