Veteran ATM digalakkan jadi usahawan pertanian

Bernama
Ogos 28, 2023 05:15 MYT
Adly juga menyeru veteran ATM untuk berdaftar dengan JHEV bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan. - Foto fail/BERNAMA
KUANTAN: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalakkan untuk menyertai bidang keusahawanan terutamanya dalam bidang pertanian sama ada secara berkelompok atau menerusi koperasi, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menjalin kerjasama dengan kementerian berkaitan bagi memastikan usahawan veteran menerima bantuan dan latihan sewajarnya supaya projek yang dilaksanakan golongan itu berjaya.
Antara kementerian terlibat ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi komitmen memastikan veteran ATM turut menerima geran peruntukan luar bandar serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Sebagai contoh, Adly berkata pihaknya menyalurkan bantuan berjumlah RM500,000 melalui MAFS kepada sebuah koperasi untuk membeli peralatan bagi mengusahakan tanaman jagung seluas kira-kira 14 hektar bersama veteran ATM.
"Modul pertanian adalah bersifat mampan, berdaya saing dan boleh dilaksanakan dengan baik. Kita yakin kalau terus diberikan fokus bagi meningkatkan ekonomi veteran, mereka akan menikmati kehidupan yang baik selepas bersara," katanya.
Adly berkata demikian semasa ditemui selepas menyantuni veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran (PPV) di Taman Seri Mahkota Aman di sini hari ini, yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah JHEV Sophian Isswandy Ismail dan Pengarah JHEV Pahang Mej Khairul Ashinar Azid @ Aziz.
Pada perkembangan lain, Adly juga menyeru veteran ATM yang belum berdaftar dengan JHEV yang dianggarkan seramai 100,000 orang, untuk mendaftar bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.
"Segala bentuk pelaksanaan (inisiatif kerajaan) banyak bergantung kepada pangkalan data yang ada, dan kalau tepat, lebih ramai orang yang menerima bantuan," katanya.
Adly berkata mereka yang tidak boleh mendaftar secara dalam talian boleh mendapatkan bantuan di pejabat JHEV negeri, selain masyarakat digalakkan untuk turut membantu jika mengetahui ada veteran yang belum berbuat demikian.
-- BERNAMA
#VETERAN ATM #bidang keusahawanan #pertanian #Adly Zahari
;