'Versi penuh' video seks Haziq Aziz dimuat naik ke laman lucah
Noor Aiman Haziq
Jun 26, 2019 14:35 MYT
Jun 26, 2019 14:35 MYT
Sebuah klip video baharu yang memaparkan aksi intim di antara bekas pegawai politik Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang lelaki mirip seorang menteri telah dimuat naik ke laman web lucah hari ini.
Klip video berdurasi 9.10 minit itu dipercayai rakaman penuh yang memaparkan dua lelaki berbogel dan melakukan aksi intim yang tersebar sebelum ini.
Terdahulu, Haziq Abdullah mengaku melakukan aksi intim di dalam video itu dan mendakwa pasangannya merupakan seorang menteri Kabinet.
Menurutnya, insiden tersebut berlaku di sebuah hotel pada 11 Mei semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.
Dalam laporan polisnya, Haziq mengulangi tuduhan bahawa menteri itu telah menghantar setiausaha politik untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya.
Katanya, setiausaha politik itu memaksanya untuk menafikan dirinya dalam video tular itu dan memintanya untuk berbohong.
Haziq juga mendakwa dia diancam, diugut dan dimanipulasikan.
Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.
Terdahulu, versi pendek video tersebut berjudul “No way” telah dimuat naik ke YouTube pada Selasa, namun dipercayai diturunkan kerana melanggar polisi laman itu.