Verifikasi pekerja asing: Hanya 65 peratus majikan berbuat demikian - JIMNS

Bernama
Mac 16, 2024 12:50 MYT
Majikan yang belum melakukannya digesa segera berbuat demikian dan lebih proaktif terhadap perkara itu kerana program berkenaan akan tamat pada 31 Mac ini. -Gambar fail
SEREMBAN: Hanya 65 peratus majikan di negeri ini melakukan proses verifikasi bagi pekerja asing mereka menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) setakat ini, kata Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) Kennith Tan Ai Kiang.
Justeru, beliau menyeru kepada majikan yang belum melakukannya untuk segera berbuat demikian dan lebih proaktif terhadap perkara itu kerana program berkenaan akan tamat pada 31 Mac ini.
"Kita masih menunggu 35 peratus majikan dan pekerja mereka untuk tujuan tersebut. Oleh itu saya menyeru majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka dan tampil ke pejabat kami di Senawang bagi tujuan verifikasi sebelum ia ditutup.
"Majikan perlu peka dengan keperluan tersebut kerana selepas ini ada proses lain lagi untuk tujuan mengesahkan mereka (pekerja asing)," katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata proses verifikasi itu dilaksanakan setelah proses pendaftaran Program RTK 2.0 tamat pada 31 Dis lepas, dengan dianggarkan hampir 1.1 juta pekerja asing didaftarkan.
Saifuddin berkata setelah berakhirnya tempoh proses verifikasi berkenaan, mana-mana majikan yang didapati masih menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah mereka boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Dalam pada itu Tan berkata hingga 13 Mac lepas, sebanyak 787 pendatang tanpa izin didaftarkan termasuk 32 kanak-kanak bagi Program Repatriasi Migran iaitu penghantaran pulang warga asing secara sukarela yang dilaksanakan bermula 1 Mac lepas.
Beliau berkata kesemua mereka adalah yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
"Jika dilihat statistik, warga Indonesia adalah yang paling ramai mendaftar program ini iaitu sebanyak 443 orang. Mereka mungkin mengambil peluang dalam program ini untuk pulang menyambut hari raya di negara asal," katanya menambah bukan kesemua pendatang yang mendaftar adalah dari negeri ini.
Mengenai situasi di Depot Imigresen Lenggeng beliau berkata tiada kesesakan dilaporkan di depot yang berkapasiti 1,000 orang itu.
Sementara itu beliau berkata setakat 29 Feb lepas, sebanyak 3,138 pendatang tanpa izin diperiksa dengan 477 ditahan iaitu peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Menurutnya JIMNS juga akan memberi lebih tumpuan dan penguatkuasaan terhadap lima lokasi 'hotspot' di daerah ini dan Nilai yang menjadi tumpuan pendatang tanpa izin.
Dalam pada itu Tan menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak melakukan penguatkuasaan di kawasan Nilai 3, di sini yang dikatakan didominasi warga asing terutama dalam sektor perniagaan.
"Nilai 3 memang ramai warga asing di situ, ada pekerja yang mempunyai pas dan dibenarkan bekerja dan ada yang tiada pas..kadang-kadang agak susah untuk kami buktikan bahawa mereka melakukan kesalahan kerana perlu ada pembuktian termasuk punch card bekerja dan sebagainya.
"Sebab itu ia mengambil masa kerana kita kena hantar pegawai risik, menyamar dan sebagainya untuk memastikan mereka benar-benar melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan," katanya.
Beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan operasi secara bersasar di premis termasuk melalui risikan dan aduan orang awam bagi membanteras lambakan warga asing di negeri ini.
-- BERNAMA
#Akta Imigresen #pendatang tanpa izin #Program Rekalibrasi Tenaga Kerja #pekerja asing
;