VEP tinggi bukan masalah, warga Malaysia tidak perlu ke Singapura

Astro Awani
Disember 23, 2014 13:07 MYT
Mengikut perspektif Nazri, caj VEP lebih tinggi yang dikenakan Singapura terhadap kenderaan asing membawa kelebihan buat Malaysia. - Gambar fail
Keputusan Malaysia mengenakan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) berjumlah RM20 ke atas kenderaan asing bukanlah sebagai balasan kepada polisi caj Singapura, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi Ahad lalu dilaporkan sebagai berkata, kenderaan asing yang memasuki Johor dari Singapura akan dikenakan caj RM20 bermula pertengahan tahun depan.
Republik pulau itu pula telahpun menaikkan caj masuk bagi kenderaaan asing dari Malaysia pada awal tahun ini.
“Caj lebih tinggi lebih baik. Singapura semakin mahal sekarang. Maka lebih baik bagi rakyat Malaysia untuk berbelanja dalam pasaran domestik,” kata Nazri seperti dilaporkan The Rakyat Post.
Beliau yang menjawab pertanyaan media sewaktu majlis pelancaran khidmat penerbangan ke Tioman Tunamaya Air, berkata rakyat Singapura sememangnya menyukai Malaysia dan selama ini mereka menyumbang kepada statistik jumlah kemasukan pelancong antarabangsa ke negara ini.
“Bagi rakyat Singapura, RM20 bukanlah masalah kerana ia hanya bersamaan S$7,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura sedang mengkaji langkah Malaysia untuk mengenakan bayaran VEP sebanyak RM20 tersebut dan akan memberi respon 'apabila tiba masanya', lapor Channel News Asia (CNA).
Saluran televisyen tempatan itu memetik jurucakap kementerian berkenaan sebagai berkata: "Kami sedang mengkaji levi baharu itu dan akan membuat keputusan tentang respons kami apabila tiba masanya."
#Johor #Malaysia #Nazri Aziz #permit masuk kenderaan #Singapura #VEP
;