VEP mula pada penghujung April

Hafiz Marzukhi
April 5, 2018 12:33 MYT
Sistem VEP yang dikenakan terhadap kenderaan asing memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Linkedua akan diperkenalkan pada hujung bulan ini. - BERNAMA/Fail
Sistem tag Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang dikenakan terhadap kenderaan asing memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), akan diperkenalkan pada penghujung bulan April.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata ketika ini sesi ujian bagi sistem tersebut sedang dilakukan bagi menjamin kelancaran pelaksanaannya.
"Pelaksanaan VEP disarankan untuk mengambil kira keperluan teknologi 'Multi-Lane Free-Flow' yang sedang dibangunkan Kementerian Kerja Raya.
"Untuk memenuhi keperluan tersebut, sistem pembayaran tanpa tunai atau e-wallet Touch 'n Go juga telah dibangunkan bagi membolehkan pembayaran caj jalan melalui Teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).
"Buat masa ini, sistem VEP senang menjalani ujian bersama sistem e-wallet bagi pelaksanaan VEP di sempadan Johor dan Singapura," kata Ab Aziz.
Beliau menjawab persoalan dari Anuar Manap (BN - Sekijang) berhubung punca kelewatan pelaksanaan sistem VEP dan bilakah ia dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
#Ab Aziz Kaprawi #Kementerian Kerja Raya #laluan kedua malaysia singapura #LINKEDUA #Permit Kemasukan Kenderaan #radio frequency identification #RFID #Tambak Johor #Vehicle Entry Permit #VEP
;