VEP mampu lumpuhkan kegiatan kereta klon
Dania Zainuddin
April 28, 2016 19:07 MYT
April 28, 2016 19:07 MYT
Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal dilaksanakan tahun ini mampu melumpuhkan kegiatan kereta klon di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata sistem VEP mampu merekod dan mengawal semua kenderaan luar yang memasuki negara melalui sempadan.
Menurut Ismail, sistem ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa, di mana fasa pertama adalah antara Malaysia dan Singapura, diikuti fasa kedua bersama Thailand dan yang fasa ketiga, bersama Brunei dan Indonesia di Sabah dan Sarawak.
"VEP adalah satu sistem yang mengawal kenderaan dari luar negara dan akan didaftarkan ke dalam sistem.
"Melalui sistem ini, kita yakin kereta klon kita dapat kesan dan keduanya, sebarang kesalahan kereta luar negara di Malaysia perlu diselesaikan seperti masalah kompaun sebelum meninggalkan negara," kata Ismail selepas melancarkan Hari JPJ di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke-70 di Setapak, pada Khamis.
Sementara itu, Ismail berkata setakat ini, 1,708 kereta klon sudah disita pasukan tindakan khas JPJ bersama anggota terbabit.
Kata Ismail, 95 peratus daripada kereta klon di negara pada ketika ini berasal dari Singapura kerana polisi kerajaan itu yang hanya membenarkan kegunaan kereta sehingga lima tahun sebelum dilupuskan.