Varsity Mall idea bijak universiti jadikan mahasiswa usahawan

Awani Rangers UUM
Oktober 25, 2017 19:16 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gedung perniagaan itu akan membantu mahasiswa untuk menjadi seorang usahawan - Foto AWANIrangers
Pembukaan Varsity Mall yang berwajah baharu dilihat sebagai satu idea bijak Universiti Utara Malaysia dalam membangunkan bidang keusahawanan dalam kalangan mahasiswa universiti ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gedung perniagaan itu akan membantu mahasiswa untuk menjadi seorang usahawan berjaya pada masa hadapan dengan adanya platform ini untuk mereka menjalankan aktiviti keusahawanan.
Menurutnya, peluang perniagaan tersebut bukan sahaja untuk mahasiswa UUM, malah membuka ruang kepada penduduk setempat untuk berniaga secara kecil-kecilan bagi mempromosikan produk mereka.
"Tahniah kepada UUM di atas idea bijak ini, selain dapat menyiapkan Varsity Mall untuk kegunaan mahasiswa dan masyarakat untuk memperluaskan bidang perniagaan mereka," ujarnya pada Majlis Perasmian Varsity Mall, hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, bangunan Varsity Mall dibina lebih 25 tahun lalu dan memlaui proses pengubahsuaian dan penambahbaikan dengan jalinan kerajasama pintar antara UUM dan pemaju, Magna Hartamas Sdn Bhd.
Katanya, penambahbaikan itu bukan sahaja dapat memperbesarkan gedung ini dari 44 lot kepada 85 lot, malah 30 peratus daripada outlet yang ada disediakan kepada mahasiswa bagi tujuan pembangunan keusahawanan siswa UUM.
"Varsity Mall yang bernilai RM15 juta selepas tamat konsesi selama 10 tahun ini akan terus menjana pendapatan melalui kaedah pegangan syer antara pemaju dan UUM pada tahun kesebelas konsesi.
"Saya berharap dengan penjenamaan semula varsity Mall ini akan meningkatkan pendapatan UUM, selain mencetuskan minat dan menggilap bakat pelajar dalam dunia perniagaan," ujarnya.
Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian sijil perakuan kepada 14 mahasiswa yang menjadi Usahawan Siswa di Varsity Mall bagi Program Pembangunan Keusahawanan UUM.

* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UUM Ashrafi Sulaiman dan Amir Faruqi Mohd Fadzli

** Awani Rangers UUM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Utara Malaysia (UUM)

#Hamzah Zainudin #Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan #universiti utara malaysia #usahawan #Varsity Mall
;