Variasi seni Diversecity 2015 warnai Kuala Lumpur
Hamzah Hamid
Ogos 31, 2015 17:47 MYT
Ogos 31, 2015 17:47 MYT
Buat julung-julung kalinya Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur atau Diversecity 2015 dianjurkan bagi meraikan kepelbagaian cabang kesenian di tanah air dan juga dari negara serantau ASEAN serta seluruh dunia.
Lebih istimewa, festival selama sebulan yang mengangkat jurus seni muzik, komedi, tradisi, tarian dan sastera itu diadakan sempena negara menyambut Hari Kebangsaan Ke-58.
Dalam majlis pelancarannya di ibu negara pada Isnin, hadirin dipersembahkan dengan pameran dan pertunjukan antaranya seperti seni visual artistik oleh artis tanah air yang menetap di Melbourne Australia Soon Hoe dan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara Lim Swee Tin.
Lim Swee Tin mendeklamasi puisi sempena pelancaran Diversecity 2015 di Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Astro AWANI
Turut menyerikan suasana pelancaran adalah persembahan tarian pelbagai genre oleh kumpulan Sutra Foundation, Dua Space Theatre, Alam Wakaka dan Amanda Brown.
Menurut Pengarah Diversecity 2015, Datin Sunita Rajakumar, orang ramai boleh menikmati karya seni tampak dan persembahan itu di 30 lokasi sekitar Kuala Lumpur dengan 100,000 tiket ditawarkan.
Bagi setiap cabang seni yang disusun oleh penganjur, terdapat kurator khusus yang akan bertindak sebagai pengelola iaitu seni muzik di bawah Michael Veerapan, tarian (Datuk Ramli Ibrahim), komedi (Harith Iskander), tradisional (Eddin Khoo) dan sastera (Mohd Khair Ngadiron).
Persembahan dikir barat menghangatkan suasana di tapak pelancaran Diversecity 2015 di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI
“Acara ini telah dirancangkan lebih daripada setahun lalu oleh warga Malaysia dalam bidang seni dan kami bekerjasama rapat dengan institusi-institudi kerajaan dan organisasi-organisasi seni bebas,” ujarnya.
Sepanjang festival itu, seniman daripada 26 negara termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, India, Korea, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand bakal mempamerkan kehebatan masing-masing.
Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selain beberapa jemputan kehormat.
Maklumat lanjut tentang festival boleh didapati di laman web www.diversecity.my