Varian Omicron: VTL darat Malaysia-Singapura tidak terjejas - Hasni
Astro Awani
Disember 2, 2021 19:02 MYT
Disember 2, 2021 19:02 MYT
JOHOR BAHRU: Tiada gambaran pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) darat, akan ditutup semula susulan ancaman varian Omicron COVID-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata perkara itu ada dibincangkannya bersama Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan ketika menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis.
Hasni berkata, Vivian memaklumkan belum ada kepastian varian tersebut akan mengganggu kelancaran VTL darat.
"Belum ada kepastian dari Singapura seperti yang digambarkan oleh Vivian. Ia memerlukan masa dua minggu hingga sebulan untuk lihat kesan dan kedudukan varian Omicron ini (terhadap VTL darat).
"Dalam tempoh itu, SOP untuk VTL darat akan diteruskan. Tidak ada gambaran bahawa VTL darat ini akan ditutup semula atau sebagainya. Tetapi satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih sesuai akan diperkenalkan melibatkan kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian JohorPay dan Joms serta penyerahan dokumen Kajian Pelan Induk Digital Negeri Johor sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, jelas hasni, SOP termasuk syarat dan keperluan ujian COVID-19 ketika ketibaan perlu dipertingkatkan dalam perancangan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pengembara.
Dalam pada itu, katanya setakat ini terdapat dua kes positif COVID-19 dikesan membabitkan pegerakan VTL darat iaitu satu kes dari Malaysia dan satu kes dari Singapura.