Varian Omicron: Golongan sihat juga berisiko tinggi dijangkiti

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 3, 2021 12:52 MYT
Golongan yang tidak berisiko juga berdepan kemungkinan dijangkiti penularan varian baharu COVID-19, varian Omicron yang disifatkan lebih cepat menular. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Golongan yang tidak berisiko juga berdepan kemungkinan dijangkiti penularan varian baharu COVID-19, varian Omicron yang disifatkan lebih cepat menular.
Ini kerana menurut Pakar Virologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Chee Hui Yee, berdasarkan data terhad yang diperoleh, varian ini bukan sahaja akan menjangkiti golongan berisiko atau golongan rentan.
Jelasnya, menurut data juga, mereka sudah dijangkiti COVID-19 sebelum ini juga berisiko dijangkiti semula oleh varian Omicron.
"Menurut data yang sedia ada, varian Omicron ini mempunyai risiko dijangkiti terhadap mereka yang sihat dan tidak semestinya mereka yang dalam golongan berisiko tinggi.
"Malah berdasarkan data yang diperoleh juga, mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 sebelum ini juga berisiko untuk dijangkiti semula atau reinfection," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Malah, Dr Chee senada dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mana data dan kajian lanjut diperlukan dan ketika ini penyelidikan masih dijalankan untuk kumpul lebih banyak maklumat terhadap kadar penularan, komplikasi dan keberkesanan vaksin.
Justeru itu, beliau menegaskan agar setiap rakyat Malaysia perlu terus patuh kepada prosedur operasi standard sedia ada dan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan dalam komuniti.
Terdahulu, Khairy dalam sidang media memaklumkan kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron telah dikesan di Malaysia.
BACA: COVID-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia
Mengulas mengenai Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura, Dr Chee berpendapat tiada keperluan untuk pengembara yang tiba melalui proses kuarantin.
Ini kerana kes positif COVID-19 varian Omicron yang dikenal pasti di negara itu tidak melibatkan penularan tempatan ketika ini.
"Pada pendapat saya, kita tidak perlu laksana kuarantin kepada pengembara dari Singapura kerana ketika ini tidak berlaku penularan tempatan di negara itu.
"Namun kita perlu tegaskan pengembara dari Singapura perlu terus patuh kepada SOP yang ditetapkan apabila tiba di negara ini.
"Bagi Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL) pula, kita perlu lihat kepada sejarah perjalanan seseorang pengembara itu adalah penting untuk pastikan tidak berlaku penularan varian Omicron dalam negara," jelasnya.
#varian omicron #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #Dr Chee Hui Yee
;