Varian Mu: Kajian terperinci mengenai keberkesanan vaksin - Pakar Kesihatan
Hasimi Muhamad
September 5, 2021 16:08 MYT
September 5, 2021 16:08 MYT
KUALA LUMPUR: Berdasarkan data sedia ada, Varian Mu atau B.1.621 kemungkinan boleh mengatasi sistem imun yang dihasilkan oleh vaksin.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, varian tersebut juga kemungkinan boleh menyebabkan jangkitan atau komplikasi yang serius.
"Pada pandangan saya dari segi saintifik, memang perlukan kajian berterusan sama ada vaksin sedia ada masih boleh digunakan untuk situasi semasa atau memerlukan perubahan dari segi jenis-jenis vaksin yang diperlukan untuk menghasilkan (tindak balas terhadap) varian tersebut.
"Ini sebenarnya sudah berlaku dalam penyakit influenza. Kalau kita tahu, penyakit influenza ini yang biasa melanda negeri-negeri hampir setiap tahun, vaksin yang dikeluarkan setiap tahun adalah menangani terhadap perubahan varian berlaku terhadap virus yang menyebabkan influenza tersebut.
"Jadi, fenomena yang sama juga saya jangkakan berlaku kepada jangkitan COVID-19," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan Varian Mu sebagai 'Variant Of Interest' (VOI) selepas ia pertama kali dikesan di Colombia pada Januari lalu.
Mengulas lanjut, Dr Malina berkata kajian terperinci perlu dijalankan termasuk menyarankan agar para saintis menghasilkan kit-kit terkini yang sesuai dengan varian yang dikesan.
"Maksudnya, ujian saringan yang diperkenalkan dari masa ke masa akan mengambil tumpuan kepada varian-varian baharu yang dikesan untuk dimasukkan juga dalam kit pengesanan bagi memboleh varian tersebut dapat dikenal pasti.
"Di samping itu, sekiranya belum lagi ada ujian saringan yang belum dapat mengesan varian tersebut, pemantauan perlu dilakukan dari masa ke masa sepertimana dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan beberapa universiti, dapat mengesan varian ini dengan lebih tepat," katanya lagi.
Mengenai kewujudan varian pula, beliau berkata ia merupakan proses semula jadi apabila sesuatu virus itu bermutasi, atau susunan genetik berubah dari semasa ke semasa.
Penggunaan teknologi, katanya membolehkan virus yang bermutasi itu dikesan dengan lebih cepat.
"Perubahan itu semulajadi sama ada ia menyebabkan bahaya yang lebih teruk atau mungkin tak begitu menjejaskan seseorang, terpulang kepada keadaan semula jadi yang menyebabkan ia (virus) wujud pada masa-masa tertentu," katanya.
Sehubungan itu, Dr Malina berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat masih perlu diamalkan bagi mengelakkan penularan jangkitan.
#Mutasi Mu
#COVID-19
#Varian baharu COVID-19
#Apa itu Varian Mu
#PKP 3 0
#Variant of Interest
#Dr Malina Osman