Varian Delta: Vaksin sedia ada berfungsi, 'booster' diberi jika perlu - Pakar

Madiha Abdullah
Ogos 6, 2021 11:10 MYT
Suntikan booster boleh dilaksanakan untuk meningkatkan antibodi tetapi vaksin yang ada sudah mampu memberi perlindungan yang diperlukan. -Foto/Bernama
KUALA LUMPUR: Vaksin dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) merupakan dua cara terbaik bagi menghalang berlakunya mutasi virus.
Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, mutasi virus adalah proses semulajadi selepas berlakunya jangkitan dalam sel manusia.
Virus COVID-19 sudah beberapa kali bermutasi, namun varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia merupakan yang paling berbahaya ketika ini dan mencetuskan kebimbangan.
"Mutasi berlaku semasa proses replikasi untuk menghasilkan virus baharu, yang berlaku selepas berlakunya jangkitan.
"Lebih banyak jangkitan, lebih banyak replikasi dan meningkatkan kemungkinan berlakunya mutasi.
"Tetapi dengan vaksin, ia akan memberi rintangan dan halangan kepada proses replikasi, sekali gus mengurangkan kemungkinan mutasi," katanya.
Jelas Dr Yahya, vaksin yang ada ketika ini semuanya berfungsi terhadap varian Delta, namun apa yang yang perlu difahami adalah tahap keberkesanannya.
"Apabila muncul varian baharu, bukanlah bermaksud vaksin yang ada terus tidak berkesan. Cuma, antibodi yang terhasil akan menghadapi masalah untuk berinteraksi atau mengenali virus.
"Untuk mengatasi masalah ini, kandungan atau kepekatan antibodi perlu ditingkatkan. Kerana itu ada beberapa syarikat pengeluar seperti Pfizer dan Sinovac membangunkan dos ketiga sebagai booster.
"Tetapi kita kena tahu beza penurunan antibodi dengan apa yang disebut sebagai immunological memory atau penghasilan memory B cell dan memory T cell.
"Kesemua vaksin yang kita ada sekarang mampu menghasilkannya dan inilah yang paling diperlukan untuk melawan jangkitan," katanya dalam sesi Wacana Sinar berjudul Varian Delta: Ancaman Sistem Negara, pada Khamis.
Beliau berpendapat, pilihan vaksin yang dimiliki negara ketika ini sudah cukup dan apa yang perlu kini ialah mewujudkan imuniti kelompok secepat mungkin.
"Kita sudah ada vaksin yang mencukupi. Apa yang penting sekarang ialah penglibatan orang ramai untuk mendapatkan vaksin.
"Kalau kita lihat sekarang, kadar jangkitan kita walaupun kadar pemberian vaksin juga tinggi.
"Jadi saya fikir kita kena lihat bukan pada angka jangkitan sahaja tetapi pada jumlah jangkitan, berapa ramai yang sudah divaksinasi dan berada dalam Kategori 1 atau 2.
"Ini kerana mereka yang sudah divaksin dan berada dalam dua kategori ini, kebarangkalian mereka untuk ke kategori lebih tinggi itu kecil.
"Secara tidak langsung ia akan mengurangkan beban sistem kesihatan dan itu yang kita mahu," ujarnya.
Dr Yahya juga merasakan negara bersedia untuk melaksanakan suntikan booster, namun ia tidak bermakna suntikan itu perlu dibuat dalam tempoh terdekat.
"Kerajaan telah memaklumkan yang bajet bagi perolehan suntikan booster ini akan dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan, jadi ini perkembangan baik.
"Kita tak perlu terburu-buru kerana vaksin yang ada sekarang berfungsi.
"Suntikan booster boleh dilaksanakan untuk meningkatkan antibodi, tetapi vaksin yang ada ini sudah boleh beri kita perlindungan yang diperlukan," katanya.
#Varian Delta #COVID-19 #imuniti kelompok #jangkitan #Pfizer #SOP #suntikan #vaksin #varian baharu #booster
;