Vape: Sengaja disasarkan kepada golongan muda?

Bernama
Ogos 28, 2024 22:25 MYT
Kajian oleh Pusat Racun Negara pada Ogos 2023 mendedahkan bahawa daripada 977 perisa e-cecair yang dikaji, kategori terbesar ialah perisa buah-buahan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Pernahkah anda terfikir, mengapa kebanyakan pilihan perisa vape di pasaran seolah-olah meniru gula-gula dan manisan kegemaran kanak-kanak?
Kajian oleh Pusat Racun Negara pada Ogos 2023 mendedahkan bahawa daripada 977 perisa e-cecair yang dikaji, kategori terbesar ialah perisa buah-buahan.
Sesetengah pihak mungkin menafikan bahawa industri tembakau sengaja mensasarkan golongan muda, tetapi realiti di lapangan membuktikan sebaliknya.
Kajian yang dijalankan di ibu negeri lima negeri di Malaysia - Georgetown, Kuala Lumpur, Seremban, Kuala Terengganu, dan Johor Bahru - mendedahkan betapa mudahnya bagi pelajar sekolah mendapatkan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.
Penyelidik utama kajian tersebut, Ahmad Shalihin Mohd Samin, melaporkan bahawa tinjauan asas melibatkan 704 premis dalam lingkungan 2-5km dari sekolah rendah atau menengah.
Daripada jumlah itu, 259 (36.8 peratus) adalah kedai runcit tempatan, 245 (34.8 peratus) adalah kedai serbaneka 24 jam, dan 49 (7 peratus) adalah stesen minyak.
"Ketersediaan e-rokok dan vape di kedai serbaneka, stesen minyak, dan penjaja tepi jalan memang membimbangkan.
"Akses mudah kepada produk ini merupakan cabaran besar dalam melindungi pelajar sekolah daripada risiko kesihatan," kata Shalihin kepada Bernama.
Kajian itu juga mendapati pengiklanan e-rokok dan vape yang meluas, dengan 28.8 peratus premis yang ditinjau menawarkan pakej promosi yang disasarkan kepada pelajar sekolah dengan bajet terhad..
Kira-kira 68 peratus premis pula didapati menjual peranti vape pakai buang. Ini mungkin kerana populariti produk sedemikian dalam kalangan pengguna yang ingin menyembunyikan tabiat vape mereka.
Mudah dilihat, dicapai oleh kanak-kanak
Lebih membimbangkan, 96 peratus premis dibawah kajian itu didapati mempamerkan e-rokok dan vape secara terang-terangan kepada kanak-kanak.
Walaupun beberapa premis runcit meletakkan tanda amaran dan menghadkan akses kepada produk tersebut, ia masih mudah dilihat dan dicapai kanak-kanak.
Hanya sekitar 37 peratus premis runcit memaparkan notis melarang penjualan produk vape dan e-rokok kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun. Selebihnya tidak.
Lebih sepertiga premis yang ditinjau meletakkan produk ini berhampiran gula-gula, mainan, gula-gula getah dan ais krim. Ini merupakan strategi sama yang digunakan industri tembakau selama ini untuk menarik minat golongan remaja.
Selain itu, 75 peratus kedai mempamerkan e-rokok dan vape dalam jarak mudah dicapai, iaitu pada ketinggian tiga kaki atau lebih rendah.
Tambah membimbangkan, semakin banyak e-rokok dan vape yang dijual kini kelihatan seakan-akan objek harian seperti mainan, jam tangan, dan bekas makanan. Tujuan reka bentuk ini yang dikenali sebagai e-rokok
'penyamaran' atau 'stealth' ialah agar ia mudah disembunyikan.
Shalihin menggesa pihak berwajib agar melarang premis jualan memasarkan e-rokok dan vape dengan promosi, gimik jualan, paparan lantai, atau menempatkan produk itu berhampiran kawasan tumpuan kanak-kanak seperti rak jualan gula-gula.
"Kita perlukan regulasi bagi pengesahan umur yang ketat dan pembungkusan yang tidak mudah dibuka kanak-kanak (child-proof packaging).
"Mungkin penggubal dasar boleh juga mempertimbangkan untuk menghadkan penjualan vape sekali guna dan mengawal tahap nikotin dalam e-cecair," katanya.
Kajian susulan mendapati beza harga bagi setiap ml e-cecair agak ketara, iaitu dari serendah RM0.60 hinggalah ke RM41.67.
Kuantiti e-cecair dalam produk vape adalah dari 1.8ml hingga 50ml, manakala produk sekali guna menawarkan sekitar 200 hingga 300 sedutan. Ada juga yang mengandungi sehingga 12,000 sedutan.
Menurut Shalihin, pengguna baru mudah 'tersangkut' dengan vape kerana walaupun kandungan nikotin dalam e-cecair sangat tinggi, rasanya tidak sepahit atau 'sekasar' nikotin freebase.
Kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Substance Abuse Treatment, Prevention, and Policy mendapati bahawa industri tembakau menggunakan pelbagai strategi promosi dalam talian untuk menarik perhatian golongan muda. Ini termasuk menyediakan perisa yang menarik, pek pemula, diskaun menarik dan hadiah percuma.
Kajian tersebut mendedahkan bahawa kebanyakan laman web peruncit menyediakan maklumat perhubungam dan alamat kedai fizikal (83 peratus), tetapi hanya separuh yang mengenakan pengesahan umur 'click-through'.
Selain itu, hanya tiga peratus yang memerlukan bukti pengenalan diri untuk pengesahan umur.
Kumpulan penyelidik itu mencadangkan pemantauan kandungan dalam talian dan pengawalan pemasaran serta jualan dalam talian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menghadkan peluang golongan muda mencuba dan mendapatkan akses mudah kepada e-rokok.
Sejajar dengan penemuan kajian tersebut adalah Kajian Tembakau Global Dewasa (GATS) 2024 oleh Institut Kesihatan Umum Malaysia. Kajian GATS mendedahkan kadar penggunaan e-rokok yang tinggi dalam kalangan belia bawah 25 tahun, berbanding mereka yang berumur 25 tahun ke atas.
Laporan tersebut menyatakan antara punca utama populariti vape dan e-rokok ialah ketersediaan perisa yang disukai, persepsi bahawa e-rokok kurang berbahaya daripada rokok biasa dan penikmatan yang lebih tinggi berbanding produk tembakau konvensional.
Carian Bernama mendapati bahawa kebanyakan platform beli-belah dalam talian dan perkhidmatan penghantaran popular yang menjual isian semula e-rokok sering kali menggunakan mekanisme semak umur yang mudah dilangkaui.
Hanya dengan mengklik 'Over 18', pengguna dapat meneruskan pembelian, manakala jika 'Under 18' diklik, gambar produk akan disembunyikan di belakang kotak kelabu bertulis 'restricted'.
Disangka selamat
Golongan belia sebenarnya tidak mengambil berat tentang jumlah kandungan nikotin dalam e-cecair, menurut dapatan kajian Profesor Dr Wee Lei Hum dari Taylor's University's School of Medicine.
"Bagi mereka, ia selamat digunakan. Mengikut pemerhatian kami, kebanyakan mereka mula menggunakan produk tembakau pada usia 19 tahun," katanya.
Kajian tersebut melibatkan 513 responden dengan purata umur 22 tahun dari lima universiti awam dan swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Putrajaya dan Kelantan.
Penemuan awal kajiannya menunjukkan bahawa 77 peratus responden menghisap vape setiap hari. Kira-kira 70 peratus juga menggunakan e-cecair yang mengandungi nikotin.
Kira-kira 21 peratus daripada mereka menggunakan kurang daripada 10mg nikotin dalam e-cecair, manakala 44 peratus menggunakan sekitar 10-19mg nikotin.
Sebagai perbandingan, 1mg nikotin adalah jumlah nikotin yang terkandung dalam sebatang rokok biasa.
Ini bermaksud, jumlah nikotin yang biasanya dihisap pengguna vape atau e-rokok dalam sehari bersamaan yang terkandung dalam 10 ke 20 batang rokok.
Dalam 14 peratus responden mengaku menggunakan 20-40mg nikotin sehari, manakala empat peratus menggunakan 41-60mg nikotin.
Satu peratus responden menggunakan lebih daripada 60mg produk nikotin.
Tahap ketagihan
Kira-kira 37 peratus daripada mereka mengambil sedutan pertama dalam sehari dalam masa hanya lima minit selepas bangun daripada tidur.
Wee berkata ini menunjukkan tahap kebergantungan mereka terhadap nikotin.
Kira-kira 63 peratus daripada mereka mendapati sukar untuk mengelak daripada menghisap vape di tempat yang dilarang dan 40 peratus daripada mereka menghisap vape sekurang-kurangnya 30 kali sehari.
Kajian mendapati bahawa 59 peratus perlu vape walaupun ketika mereka sakit dan hampir 50 peratus pelajar universiti sangat bergantung kepada nikotin.
"Kebergantungan ini mungkin disebabkan oleh persepsi mereka bahawa aktiviti menghisap vape adalah selamat dan tidak menyebabkan ketagihan. Oleh itu, pilihan jenama mereka bergantung kepada rasa berbanding dengan kepekatan nikotin dalam e-cecair.
"Selain itu, kebanyakan mereka pada tahun-tahun pertama menghisap vape tidak menyedari kepekatan nikotin yang diambil. Ini mungkin menyumbang kepada tahap kebergantungan tinggi dari awal," katanya.
Inilah sebabnya mengapa usaha mempromosi e-rokok bagi tujuan pengurangan kemudaratan tidak digalakkan.
Idea bahawa ia kurang berbahaya sentiasa dipromosikan dalam pemasaran, sementara reka bentuk dan rasa produk memenuhi selera golongan muda.
Cabaran bagi kerajaan adalah dari segi penguatkuasaan kerana mereka perlu memperluas tumpuan kempen kepada e-rokok, dalam keadaan mereka bergelut mendapatkan tenaga kerja untuk mengekang kegiatan merokok konvensional.
"Kita kini berada di tahap yang terkebelakang, seolah-olah kita sedang membalikkan kemajuan yang telah dibuat dalam mengurangkan prevalens merokok kepada kurang daripada lima peratus menjelang 2040.
"Produk tembakau baru ini mungkin menjadi sebab mengapa kita mungkin telah membalikkan angka (prevalens merokok) kerana usia permulaan untuk produk tembakau semakin muda," kata Wee.
Berdasarkan pemerhatiannya, sekali bermula, sukar berhenti.
"Semakin muda mereka mulakan tabiat hisap vape, semakin sukar untuk mereka berhenti."
Tiada kawalan tanpa regulasi
Isu utama dengan e-rokok dan vape adalah Malaysia tidak mengawalnya. Ini menjadikannya sukar untuk mengetahui berapa banyak nikotin yang telah diambil pengguna.
Sebagai contoh, produk vape pakai buang biasanya tidak mempamerkan jumlah nikotin dalam satu kartrij.
Masa hadapan pengguna muda bakal menjadi payah jika mereka memulakan tabiat menghisao vape dengan kepekatan nikotin yang lebih tinggi, dan terus meningkatkan pengambilan nikotin semasa melangkah ke alam dewasa.
"Mereka akan dapati lebih sukar untuk menurunkan kepekatan kerana ia tidak lagi memuaskan ketagihan mereka.
"Itulah sebabnya saya menggesa agar peraturan mengenai pelabelan dilakukan dengan betul. Paparkan berapa banyak kandungan nikotin dalam e-cecair.
"Kami menunggu menteri untuk mengawal e-rokok dan vape. Kita memerlukannya," katanya.
Para pakar bersetuju bahawa penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah penting.
Namun, penguatkuasaannya haruslah ketat bagi memastikan kawalan sewajarnya, demi melindungi generasi muda di Malaysia.
-- BERNAMA
#vape #Kanak-kanak #KKM #e-cecair