Vandalisme di bangunan bersejarah, Perzim cadang kawalan ketat
Sinar Harian
Mei 2, 2023 07:15 MYT
Mei 2, 2023 07:15 MYT
MELAKA: Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) akan mencari kaedah terbaik bagi menangani isu vandalisme di bangunan bersejarah Tapak Warisan Dunia (UNESCO) di negeri ini.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, ia termasuk cadangan meletakan papan tanda amaran agar orang ramai lebih berhati-hati kerana perbuatan vandalisme boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 112 (2) Akta 654 Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi memastikan lokasi bersejarah dan menjadi tumpuan pelancong terus terpelihara.
"Perzim akan buat pemantauan bersama-sama MBMB dan juga Jabatan Warisan Negara.
"Kita akan lihat untuk memperketatkan lagi kawalan keselamatan di sini supaya vandalisme ini tak berlaku lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Bukit Melaka di Banda Hilir di sini pada Selasa.
Tambahnya, Perzim juga akan melaksanakan kempen antivandalisme yang dikenali sebagai 'Katakan Tidak Kepada Vandalisme' di kawasan bersejarah dan muzium di seluruh Melaka.
Katanya, kempen dengan usaha pelbagai pihak itu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya lebih menghargai peninggalan sejarah.
"Kita juga merancang untuk menyediakan ruang bagi pengunjung mengabadikan kenangan mereka di lokasi sejarah berbanding dengan menconteng di dinding bangunan
"Beberapa kaedah penyelesaian bagi pengunjung merekodkan kehadiran mereka termasuk penjualan kunci istimewa seperti di Tembok Besar China," katanya lagi.
Ujarnya, sehingga 31 Mac lalu, jumlah kehadiran pelancong di kawasan-kawasan bersejarah di negeri ini merekodkan seramai 326,000 dengan jumlah pendapatan RM1.4 juta dan kutipan itu dijangka terus meningkat mencecah RM4.1 juta pada hujung tahun ini. - Sinar Harian