Van syarikat keselamatan bawa RM2.2 juta disamun tiga lelaki

Bernama
Februari 20, 2013 22:15 MYT
Sebuah van syarikat keselamatan membawa wang tunai RM2.2 juta disamun tiga lelaki bersenjatakan alat renjatan elektrik di hadapan sebuah medan selera di Jalan 51A/227 menghala ke Jalan 222 Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata rompakan berlaku pukul 10 pagi ketika van dinaiki tiga pekerja syarikat itu dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank di ibu negara.
Katanya kesemua pekerja berkenaan sebelum itu singgah di medan selera untuk membeli makanan sebelum secara tiba-tiba tiga lelaki bersenjatakan alat renjatan elektrik dan bertopeng yang menaiki sebuah kenderaan MPV, keluar dan bergelut dengan pemandu van terbabit.
"Pemandu itu, yang ketika itu berada di luar van, cedera akibat ditumbuk seorang daripada suspek. Suspek terus merampas wang tunai di dalam van dan melarikan diri dengan kenderaan mereka," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Arjunaidi berkata polis mengambil keterangan ketiga-tiga pekerja berumur 25 hingga 31 tahun itu bagi menyiasat kejadian termasuk jika terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
"Ikutkan SOP, pemandu tak boleh keluar dari van. Mereka mendakwa tidak dapat mengecam plat nombor MPV itu namun pasti, ia adalah plat Wilayah Persekutuan. Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian," katanya.
#alat renjatan elektrik #RM2.2 juta #samun #tiga lelaki #van syarikat keselamatan
;