Van musnah terbakar di lebuh raya dekat Bidor

Aida Aziz
Januari 17, 2023 17:43 MYT
Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang itu menyebabkan van jenis Vanette itu musnah terbakar sebanyak 70 peratus, namun tidak melibatkan mangsa. - Foto JBPM Perak
BIDOR: Sebuah van musnah dalam kejadian kebakaran di kilometer (km) 338 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang itu menyebabkan van jenis Vanette itu musnah terbakar sebanyak 70 peratus, namun tidak melibatkan mangsa.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.22 petang, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi.
"Setibanya jentera bersama-sama anggota di lokasi mendapati sebuah van musnah terbakar sebanyak 70 peratus.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian diarahkan oleh komander operasi untuk membuat pemadaman menggunakan dua aliran hose reel sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zaini Jamaluddin itu tamat pada jam 3.58 petang.
#van terbakar #Lebuhraya PLUS #kebakaran #Bidor
;