Van kilang terbabas, 10 termasuk pemandu cedera
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 20, 2022 09:45 MYT
Oktober 20, 2022 09:45 MYT
JURU: Sejumlah 10 orang cedera selepas van yang membawa pekerja kilang terbabas dan melanggar tiang dalam kemalangan di KM 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tambun Juru, Pulau Pinang pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.38 pagi itu, pemandu van kilang tersepit, manakala sembilan lagi penumpang terdiri daripada pekerja wanita dan lelaki cedera.
Menurut pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, PBK11, Azhar Samsudin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.38 pagi.
Sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati sebuah van jenis Foton terbabas dan melanggar tiang.
"Pemeriksaan mendapati van berkenaan remuk teruk dengan pemandu van tersepit di dalam kenderaan tersebut, dua mangsa mengalami kepatahan manakala tujuh lagi mangsa cedera ringan.
"Pasukan penyelamat melakukan kerja kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 7.34 pagi tadi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian diberikan rawatan awal oleh Pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan EMRS.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan selanjutnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.