Vaksinkan segera pekerja di lapangan, termasuk ahli keluarga mereka - Dr Malina
Ridauddin Daud
Julai 30, 2021 14:02 MYT
Julai 30, 2021 14:02 MYT
KUALA LUMPUR: Apabila pakar kesihatan membangkitkan isu kluster tempat kerja dan industri yang dilihat merekodkan banyak kes baharu COVID-19, itu bukanlah bertujuan menyalahkan mana-mana pihak.
Sebaliknya, Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah untuk membantu menambah baik keadaan.
Justeru, beliau mencadangkan pekerja di lapangan diberikan vaksin secepat mungkin, termasuklah ahli keluarga mereka bagi membendung penularan COVID-19.
“Gelembung keselamatan terpaksa diwujudkan. Kalau tidak, memang kita akan terus mendapati kes-kes baharu akan dicatatkan dari hari ke hari sehinggalah kita mendapati vaksin yang diberikan mencapai tahap diharapkan.
“Namun untuk tunggu keadaan itu, keadaan dalam negara kita masih belum menunjukkan tanda-tanda reda. Semalam, Hospital Serdang diumumkan sebagai Hospital COVID-19 dan bertambah lagi wad-wad yang perlu digunakan untuk merawat pesakit.
“Memang kita perlu sama-sama berganding bahu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ini dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
Tegasnya, Malaysia kini sedang bergelut dan berlumba dengan masa sama ada boleh mengekang penularan pandemik itu dengan pantas atau tidak.
“Jika kita lewat, kita akan saksikan apa yang berlaku sepanjang April, Mei dan Jun di Selangor dan Kuala Lumpur, konotasi daripada kelewatan itu, sebahagian besar hospital di Lembah Klang telah menghadapi seperti mana yang kita lalui sekarang ini.
“Kita harap negeri lain seperti Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah yang menunjukkan tanda-tanda peningkatan, situasi itu sepatutnya dapat dielakkan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Malina sangat berharap pemberian vaksin di seluruh negara dapat dipercepatkan.
#COVID-19
#Kluster tempat kerja
#kluster industri
#PPV
#Pemberian Vaksin
#Dr Malina Osman
#vaksin
#SOP
#Sabah
#Kuala Lumpur
#Selangor
#kes tinggi
#kes baharu