Vaksinasi 'walk-in' di Sabah berjalan lancar - Masidi
Eleanor Michelle Patrick
Ogos 15, 2021 21:18 MYT
Ogos 15, 2021 21:18 MYT
KOTA KINABALU: Pemberian vaksin secara 'walk-in' di Sabah berjalan dengan lancar, kata jurucakap negeri mengenai COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun.
Jelasnya, selagi keadaan mengizinkan, pemberian vaksin kepada mereka yang hadir ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan terus berjalan.
"Mengikut laporan harian daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), secara amnya semua berjalan dengan baik.
"Selagi ada bekalan kuota harian vaksin dan masih dalam tempoh operasi (operating hours), mereka yang datang akan terus diberi vaksin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.
Melihat kepada situasi kehadiran sejumlah besar orang awam ke beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di sekitar Sabah, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata ia adalah satu petunjuk yang baik.
Tambahnya, pihak keselamatan dan penyelaras di PPV akan terus menilai dan memperbaiki usaha menangani masalah kesesakan yang berlaku.
"Saya melihat jumlah yang ramai sebagai satu petunjuk bahawa rakyat Sabah mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai keperluan mendapatkan vaksin.
"Kesesakan adalah sesuatu yang boleh diperbaiki secara pentadbiran oleh JKNS," katanya lagi.
Sejak pengumuman pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) lengkap dua dos bagi premis makanan dan juga pasaraya di negeri ini, kehadiran orang awam ke PPV telah meningkat dengan mendadak.