Vaksinasi, ubat antiviral strategi tangani gelombang baharu COVID-19 - Khairy

Madiha Abdullah
Julai 8, 2022 16:50 MYT
Kata Khairy, masih terdapat lebih 30 peratus golongan dewasa di negara ini yang belum mendapatkan dos penggalak setakat 7 Julai. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan vaksinasi dan rawatan melalui ubat antiviral merupakan strategi utama dalam menghadapi gelombang baharu COVID-19.
Jelasnya, masih terdapat lebih 30 peratus golongan dewasa di negara ini yang masih belum mendapatkan dos penggalak setakat 7 Julai.
"Strategi kita masih lagi vaksinasi, yang belum dapat dos penggalak, pergilah dapatkan dos penggalak terutama mereka yang berisiko kerana kes kematian banyak melibatkan warga emas dan mereka yang ada penyakit komorbid.
"Kedua, kita rawat mereka yang berisiko tinggi. Dahulu kita tak ada rawatan tetapi sudah ada sekarang untuk mereka yang baru dijangkiti, menggunakan ubat antiviral paxlovid yang diberi percuma di fasiliti kesihatan.
"Kriteria pemberian ubat ini ialah individu 18 tahun ke atas yang mengalami jangkitan kategori 2 atau 3 dan mempunyai komorbiditi. Mereka ini boleh ke fasiliti kesihatan kerajaan dan 97 buah fasiliti kesihatan swasta untuk dapatkan paxlovid.
"Kita yakin dengan adanya rawatan menggunakan paxlovid, gejala jangkitan dapat dikurangkan dan mereka tidak perlu masuk ke hospital," katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy menambah, mereka yang dijangkiti COVID-19 dan berada dalam kumpulan berisiko, dinasihatkan agar tidak takut ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk membolehkan tahap kesihatan mereka dinilai dan diberi rawatan segera.
BACA: Varian Omicron sub-lineage BA.5 mungkin sudah merebak di Malaysia - Khairy
Setakat ini, seramai 4,001 pesakit telah diberikan paxlovid dan tiada kesan sampingan serius direkodkan.
Kementerian Kesihatan juga sedang memperhalusi untuk menyarankan dos penggalak kedua kepada individu berusia 60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Khairy turut menggesa orang ramai agar terus mengamalkan langkah kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka di tempat tertutup.
"KKM mungkin akan kuatkuasakan kembali Akta 342 jika angka kes baharu terus menunjukkan peningkatan," katanya lagi.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #gelombang baharu #vaksin #paxlovid #ubat antiviral
;